SUKAN LAIN
Olimpik Musim Sejuk: Julian perlu tampilkan aksi sempurna
Atlet luncur ais negara, Julian Yee, menganggap tanggungjawab selaku pembawa Jalur Gemilang dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan, sebagai satu penghormatan dalam usahanya meningkatkan imej sukan berkenaan di Malaysia.
Julian layak secara merit ke Pyeongchang selepas menduduki tempat keenam Kejohanan Trofi CS Nebelhorn di Jerman, September lalu.
Bagaimanapun, atlet berusia 20 tahun itu mengakui cabaran di Korea nanti lebih sukar berdasarkan pemerhatiannya dalam Kejohanan Dunia.
Iklan
Ketika itu, Julian menduduki tangga ke-22 keseluruhan, namun yakin peluangnya tetap ada untuk melakar kejutan berdasarkan program latihan yang diharunginya di Kanada.
Selain Julian, seorang lagi atlet negara yang akan membawa cabaran negara ialah Jeffrey Webb.
"Tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang melonjakkan motivasi saya.
"Ia detik terbaik bukan sahaja kepada saya, bahkan buat negara kerana temasya ini adalah detik terbaik untuk semua orang," kata Julian dalam Majlis Penyerahan Jalur Gemilang yang disempurnakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar, di Kuala Lumpur, hari ini.
Naib Presiden MOM, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar, diberi tanggungjawab sebagai ketua kontinjen negara ke Pyeongchang.
Seramai lapan individu yang turut merangkumi dua jurulatih serta pengurus akan berlepas ke Korea esok dengan Jeffrey menanti di sana.
Mumtaz menjelaskan jumlah itu bersesuaian dengan bilangan yang ditetapkan oleh penganjur temasya bagi memastikan tiada sebarang masalah menimpa atlet negara.
"Kita tidak mempunyai Sekretariat Sukan Olimpik Musim Sejuk. Kuota negara kita hanya empat dan kami akan pergi sebagai kontinjen kecil," ujar Mumtaz.
Sementara itu, jurulatih luncur ais negara, Michael Hopfes, enggan meletakkan sebarang sasaran buat Julian dalam acaranya nanti.
Ia bagi mengelakkan anak didiknya itu dibebani tekanan sambil mengakui cabaran sukar menanti Julian untuk cuba menempatkan dirinya dalam pusingan akhir.
Hopfes, yang lebih menumpukan kepada bahagian luncur bebas, menuntut Julian agar melakukan rutin sempurna selain cuba memperbaiki sebarang ruang yang boleh mendatangkan kesilapan.
"Agak sukar untuk ke final, namun kami gembira dapat layak ke temasya ini.
"Kami memang mahu layak ke final tetapi ia bukan mudah kerana dia perlu menampilkan tahap hampir sempurna.
"Ia juga bukan bergantung kepada kami semata-mata kerana persembahan peserta lain juga perlu diambil kira.
"Saya harap tuah mengiringi kami," kata bekas atlet Jerman berkenaan.
Must-Watch Video