Skip to main content

Sukan Lain

Olahraga Masters Terbuka Sabah April depan

veteranpix1.jpg
Persatuan Olahraga Masters Sabah (SAMAS) akan menganjurkan Kejohanan Olahraga Masters Terbuka Sabah (SAMOC) 2018 di Stadium Likas pada 28 dan 29 April depan.

Presiden SAMAS, Aliudin Jumaat, berkata kejohanan tahun ini mempertandingkan 34 acara, iaitu masing-masing 17 acara untuk kategori lelaki dan wanita berumur 35 tahun ke atas.

"Tahun ini, pihak penganjur meletakkan sasaran awal untuk menarik kira-kira 500 penyertaan mewakili lebih 30 pasukan, termasuk penyertaan atlet veteran tempatan dan antarabangsa.

"Berdasarkan rekod penyertaan lalu dan minat ketika ini, kami yakin untuk mencapai sasaran itu," katanya sambil menambah kejohanan itu akan berlangsung dari jam 7 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata antara matlamat penganjuran kejohanan ini adalah untuk memupuk gaya hidup sihat di kalangan atlet-atlet sukan berusia 35 tahun ke atas.

"Pada masa sama, kejohanan ini juga akan menjadikan atlet-atlet masters Sabah lebih bersedia untuk menyahut cabaran lebih besar di peringkat antarabangsa, termasuk dalam Kejohanan Masters Asia dan Dunia," katanya.

Sepanjang tahun 2017, SAMOC memberi impak besar kepada atlet SAMAS yang mencapai banyak kejayaan di luar negara, termasuk membawa pulang 132 pingat emas daripada penyertaan dalam kejohanan antarabangsa.

Dalam Masters Asia, atlet Sabah membawa pulang enam emas, enam perak dan lima gangsa, manakala dalam Kejohanan Dalam Dewan Masters Dunia (WMACi) atlet Sabah menerusi Aliudin Jumaat memenangi satu pingat perak.

Advertisement

Must Watch Video