GOLD COAST 2018
Olahraga: Kuartet lelaki negara akhiri saingan di kedudukan ketujuh
Kuartet 4x100 meter lelaki negara yang diketuai Khairul Hafiz Jantan gagal memecahkan rekod kebangsaan apabila mencatat 39.37 saat untuk meraih tempat ketujuh dalam final Sukan Komanwel 2018, hari ini.
Kuartet negara menggalas harapan tinggi apabila mencatat sejarah layak ke final buat kali pertama dalam acara itu dan turun dengan misi mengatasi rekod kebangsaan 39.27s.
Begitupun, pelari pertama, Nixson Kennedy yang diapit kuartet Barbados dan Jamaica di lorong kedua, gagal mempamerkan larian terbaik sebelum Jonathan Nyepa memulakan pecutannya.
Iklan
Begitu juga dengan pelari ketiga, Badrul Hisham Abd Manap, yang menyerahkan baton kepada pelari terakhir, Khairul Hafiz, sehingga ketinggalan di belakang Sri Lanka.
Malaysia melintasi garisan penamat dengan 39.37s, namun diumumkan meraih tangga ketujuh selepas kuartet Nigeria dibatalkan.
England merampas semula emas acara itu daripada gergasi, Jamaica, dengan catatan 38.13s.
Afrika Selatan memungut perak sementara Jamaica, gangsa.
"Walaupun kami tidak dapat memecahkan rekod kebangsaan, ini pengalaman berharga kerana ini merupakan kali pertama Malaysia menghantar kuartet 4x100m dan berjaya masuk ke final," kata Khairul Hafiz.
Sementara itu, Badrul Hisham menegaskan mereka tidak akan berputus asa untuk meleburkan rekod yang dilakar dalam Sukan SEA 2017 itu.
"Larian kami tadi bagus. Belum ada rezeki untuk kami mengatasi rekod kebangsaan, kami akan cuba melakukannya dalam Sukan Asia nanti," katanya.
Must-Watch Video