GOLD COAST 2018
Olahraga: Kuartet 4x100m lelaki negara layak ke final
Kuartet 4x100 meter lelaki negara mencipta sejarah tersendiri apabila layak ke final buat julung kalinya dalam Sukan Komanwel, hari ini.
Kuartet negara yang dibarisi Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan membawa cabaran Malaysia dalam temasya Gold Coast 2018 selepas mengakhiri saringan kedua di tempat kelima di belakang England, Jamaica, Nigeria dan Barbados.
"Bagi saya, larian tadi memang bagus memandangkan ini adalah pasukan yang pertama dihantar.
Iklan
"Dapat mencatatkan masa peribadi yang terbaik pun sudah membuatkan kami bersyukur," kata Khairul Hafiz.
Permulaan baik daripada Nixson selaku pelari pertama menawarkan petanda mungkin ada sesuatu untuk diraikan daripada kuartet ini biarpun momentum berkurangan saat baton singgah di tangan Badrul Hisham dan Khairul Hafiz.
Akhirnya, catatan 39.39 saat cukup untuk membawa Malaysia ke final esok menerusi klasifikasi masa ketujuh terbaik.
Kali terakhir rekod kebangsaan 4x100m diperbaharui adalah pada Sukan SEA 2017 menerusi catatan 39.27s.
"Saya rasa permulaan saingan sangat baik kerana dapat merapatkan diri dengan pelari yang berada di depan. Ini larian terbaik saya pada tahun ini," ujar Nixson.
Badrul turut lega dengan proses pertukaran baton dengan berkata: "Alhamdulillah, hantaran baton berjalan lancar dan kami dapat mencatat masa peribadi yang baik walaupun gagal memecahkan rekod kebangsaan."
Must-Watch Video