Skip to main content

Sukan Asia

Olahraga: Kekeliruan buat Nauraj cemas seketika

zainal9418.jpg
Kekeliruan teknikal membuat skuad olahraga negara berdebar sebelum menerima pengesahan rasmi status atlet lompat tinggi, Nauraj Singh, ke final bersama Lee Hup Wei dalam Sukan Komanwel Gold Goast.

Berdasarkan klasifikasi kelayakan ke final, hanya 12 kuota diperuntukkan bagi saingan perebutan pingat.

Seramai 13 atlet, termasuk Nauraj dan Hup Wei, melepasi ketinggian 2.21m dan persetujuan dicapai untuk melebarkan senarai final. 

Kebimbangan tercetus apabila kemaskini awal senarai final tidak memperlihatkan nama Nauraj.

"Kalau pengadil di padang itu mengatakan hanya 12, jadi dia perlukan lompatan setinggi 2.2m. Jadi, ia tiada masalah sebenarnya untuknya melayakkan diri ke final. 

"Cuma salah faham di sini di antara (bahagian) teknikal dan pengadil kerana teknikal yang memasukkan semua keputusan kelayakan dan sebagainya," kata ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas.

Melakukan lompatan dalam Kumpulan B, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Nauraj, berada di tangga keenam.

"Percubaan saya memang begitu tertekan tetapi saya gembira dapat menanganinya dengan baik. 

"Memang sasaran kami adalah untuk ke final. Sebelum saya memikirkan pingat, saya harus mara ke final. Ini adalah hari yang hebat, sangat panas.

"Semuanya berjalan mengikut perancangan dan saya sangat gembira dapat masuk final. Sudah tentu, langkah seterusnya adalah untuk cepat pulih," kata Nauraj.

Pujian juga wajar diberikan kepada Hup Wei untuk ke final dalam keadaan dia terpaksa mencari prestasi sebenar ketika saingan kelayakan sedang berlangsung.

"Pada awalnya, prestasi saya belum bangkit. Saya memaksa untuk melakukan yang terbaik. Jadi, untuk final nanti, saya akan membuat persediaan lebih baik," kata Hup Wei.

Hup Wei, yang mempunyai rekod peribadi 2.27m, berjaya melepasi ketinggian 2.21m untuk berada di tempat keempat dalam Kumpulan A.

Advertisement

Must Watch Video