Skip to main content

Sukan Lain

NSAM tidak rela terpinggir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

menembak-nsam.jpg
Setiausaha Kehormat Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Adam Tee, memohon pertimbangan Majlis Sukan Negara (MSN) supaya mengekalkan sukan itu sebagai sukan penting walaupun penganjuran acara menembak dilihat samar dalam Sukan SEA Manila 2019 selain tiada dalam Sukan Komenwel Manchester 2022 nanti.

Malah, situasi berkenaan membuatkan semangat majoriti sembilan penembak negara yang menggalas cabaran dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang seolah-olah direntap dan pencapaian di Indonesia tempoh hari adalah bukti yang cukup jelas.

Adam bimbang apa yang berlaku dalam Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun ini menjadi penilaian pihak MSN untuk mengabaikan keperluan sukan itu pada masa akan datang. 

Banyak acara yang melibatkan wakil negara tidak berada dalam senarai acara Sukan SEA Manila 2019 selain Sukan Komanwel Manchester, empat tahun akan datang.

"Saya tidak pasti mengenai pandangan MSN terhadap NSAM ketika ini. 

"Sekiranya tiada kejohanan utama dalam tempoh empat tahun ini, apa yang kami boleh buat?

"Adakah kami perlu menggantung sukan menembak atau teruskan?

"Kami perlu berbincang dengan MSN. 

"Kami perlu mencari jalan apakah yang perlu dilakukan bagi tempoh empat tahun ini memandangkan tiada kejohanan serantau diadakan melainkan siri dunia dan Sukan Olimpik," katanya. 

Prestasi buruk penembak negara dalam Sukan Asia yang berakhir penghujung Ogos lalu menggambarkan masa depan sukan menembak seakan telur di hujung tanduk.

Tegas Adam, pihak persatuan sudah buat apa yang termampu sungguhpun ramai yang beranggapan NSAM gagal membantu hasrat beberapa penembak negara untuk menyertai Sukan Asia berikutan penetapan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang mahu atlet di kedudukan empat terbaik Asia sahaja diberi keutamaan.

"Biarpun mereka layak, kami tertakluk kepada arahan dikeluarkan MOM. 

"Sudah tentu apabila ia berlaku, ia sedikit meremukkan hati atlet. 

"Ia sedikit menjejaskan para atlet kerana pihak yang berkenaan tidak mempunyai keyakinan terhadap kemampuan mereka sehingga mereka terpaksa mengeluarkan peruntukan sendiri," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video