Skip to main content

Sukan Lain

Norliyana gusar kecederaan kedua-dua lutut

norliyana27218-(2).jpg
Atlet heptatlon negara, Norliyana Kamaruddin, masih gusar dengan kecederaan kedua-dua lututnya sehingga tidak yakin terhadap peluang beraksi dalam Sukan Asia Jakarta pada Ogos nanti.

Kecederaan itu membelenggu Norliyana sejak tahun lalu dan kesakitan masih lagi terasa sewaktu dia beraksi dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), awal bulan ini.

Sehubungan itu, tiada sebarang perancangan untuk ke mana-mana kejohanan setakat ini atau latihan di luar negara kerana fokus utamanya adalah ingin mengembalikan tahap kecergasan seperti sedia kala.

Katanya, ini bagi membolehkan persiapan ke Sukan Asia tidak terjejas kerana acara heptatlon memerlukan stamina yang tinggi bagi menguasai kesemua acara.

"Buat masa sekarang tidak boleh jamin apa-apa, hanya cuba untuk pulih betul-betul dan berlatih seperti biasa. Mungkin saya akan cuba mengekalkan prestasi kalau ada pertandingan," katanya.

Kemahiran Norliyana bagi acara lompat tinggi memang tidak dapat disangkal tatkala dia tidak menolak agak bergelut dalam acara larian.

"Saya (atlet) daripada lompat tinggi, di situ saya dapat banyak mata. Tetapi dalam acara larian, saya kurang, tertutama 100m berpagar dan 200m, di mana saya perlu tingkatkan lagi kelajuan," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video