OLAHRAGA
Nauraj ketepikan kritikan
Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa, mengetepikan kritikan terhadap prestasinya dalam Sukan Komanwel Gold Coast dengan memberi tumpuan kepada pertembungan menentang pencabar utama, Lee Hup Wei, dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Bukit Jalil, dari 11 hingga 13 Mei ini.
Nauraj nyata kecewa apabila ada pihak mengkritik kegagalannya meraih pingat di Gold Coast.
Juara Sukan SEA 2017 itu meraih tangga kesembilan dengan ketinggian 2.18m, catatan yang jauh di belakang rekod kebangsaan miliknya, iaitu 2.30m.
Iklan
Prestasinya akan sekali lagi menjadi tumpuan dalam Terbuka Malaysia, apatah lagi dia akan berentap dengan Hup Wei yang tiga kali mengatasinya musim ini, termasuk di Gold Coast.
"Ya, kami sedang cuba meningkatkan prestasi untuk Sukan Asia, termasuk menyertai beberapa kejohanan sebelum temasya itu. Kami berharap dapat melakukan lebih baik.
"Apa sahaja yang berlaku dalam Terbuka Malaysia adalah sesuatu yang baik buat saya dan Hup Wei. Kami memberi galakan antara satu sama lain dan dalam masa sama menikmatinya. Beraksi di Stadium Bukit Jalil tentunya memberikan persekitaran bagus buat kami," katanya.
Untuk rekod, Nauraj pernah menjuarai Terbuka Malaysia sebanyak tiga kali sementara Hup Wei lapan kali.
Prestasi kian meyakinkan menyaksikan Hup Wei berpeluang merampas kembali status jaguh utama lompat tinggi negara andai menewaskan Nauraj di Bukit Jalil nanti.
"Saya telah merancang untuk sasaran yang lebih tinggi dan tentunya perlu mempersiapkan diri," ujar Hup Wei.
Must-Watch Video