SUKAN-LAIN
MYSLS: Undang-undang bela nasib atlet
Menyelusuri arena sukan, pemain juga mempunyai hak individu yang berkepentingan membela kebajikan berlandaskan undang-undang yang wujud supaya kekal terpelihara setiap aspek.
Bekas pertahanan Perak, Raja Imran Shah Raja Amin, yang memiliki latar belakang dalam jurusan undang-undang secara langsung berasakan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memperjuangkan nasib pemain bersama Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).
Tonggak Bunga Raya Damansara yang ditemui dalam Persidangan Malaysia Sports Law 2024 (MYSLS) di Bukit Kiara hari ini itu berjanji berusaha menyuarakan isu gaji yang melanda beberapa pemain meskipun mengakui sukar kerana melibatkan pelbagai pihak tertentu.
Iklan
"Sudah tentu gaji ialah perkara yang paling dititik beratkan sebagai pemain bola. Perbincangan itu sudah semestinya membincangkan mengenai mekanisma untuk menambah baik struktur bola sepak.
"Sentiasa ada jalan penyelesaian dan ia memerlukan pelbagai pihak untuk bekerjasama tetapi apa yang kita boleh lakukan terutama persatuan seperti PFAM adalah sentiasa bersama memperjuangkan nasib pemain dan melindungi mereka dalam setiap perkara," katanya kepada Nadi Arena.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Michelle Chai, menganggap rata-rata pemain badminton mula arif mengenai hak mereka sebagai atlet kebangsaan.
Mereka berani melontarkan pendapat serta mengemukakan beberapa kepincangan yang berlaku sepanjang terlibat dalam sukan badminton.
"Hubungan di antara persatuan dan atlet sangat berbeza jika dibandingkan lima tahun yang lalu. Sekarang, setiap atlet mempunyai banyak pengetahuan mengenai hak mereka.
"Persatuan perlu meningkatkan tahap tersendiri supaya dapat berbincang berkenaan taraf bersama-sama atlet," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman.
Must-Watch Video