Skip to main content

Hoki

Muka baru dalam KHM

subahan-kamal-260717.jpg
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengumumkan pelantikan bekas pemain kebangsaan, Soon Mustafa Karim, sebagai pengerusi jawatankuasa kejurulatihannya yang baru  bagi menggantikan Datuk Ow Soon Kooi yang meletak jawatan. 

Sebagai pemain, Soon mempunyai reputasi hebat di bahagian tengah dan pernah mengerah kudrat bersama barisan negara dalam Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles dan 1992 di Barcelona. 

Walaupun tidak mempunyai pengalaman sebagai jurulatih, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, berasakan ia bukan masalah buat Soon untuk bersama Jawatankuasa Kejurulatihan KHM. 

"Untuk berada dalam jawatankuasa kejurulatihan, anda tidak semestinya seorang jurulatih. 

"Malah, bekas pengerusi jawatankuasa kejurulatihan sebelum ini pun tidak pernah melatih sebarang pasukan. 

"Secara dasarnya, seseorang pengerusi jawatankuasa kejurulatihan haruslah berpengetahuan luas dalam hoki, pernah mewakili negara dan mempunyai keghairahan terhadap hoki. Namun, individu sebenar yang akan membuat keputusan muktamad adalah pengarah teknikal dan ahli jawatankuasa," katanya.  

Soon akan dibantu Datuk Ahmad Najmi Razak sebagai timbalannya manakala jawatankuasa kali ini akan turut dibarisi wakil jurulatih hoki wanita, Nuriza Sulaiman dan Nadia Abdul Rahman. 

Dalam perkembangan lain, Subahan turut mengumumkan Logan Raj tidak akan melanjutkan kontraknya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KHM apabila kontraknya tamat pada hujung bulan ini kerana mengambil keputusan berhijrah ke Australia bersama keluarganya. 

Logan mengakui ia keputusan sukar untuk meninggalkan KHM, namun percaya ketiadaannya tidak akan menjejaskan pentadbiran persatuan itu. 

"Ia keputusan yang sukar memandangkan hoki adalah keghairahan saya dan Malaysia adalah halaman saya. 

"Begitupun, saya berasakan hoki Malaysia di tangan yang betul dengan presiden yang sentiasa turun padang," ujarnya. 

KHM akan mengumumkan penyandang baru bagi jawatan itu dalam masa terdekat. 

 

Advertisement

Must Watch Video