SUKAN LAIN
MSSM Olahraga 2023: Sayyid Amin lega bukti kemampuan raih pingat emas 200m
Selepas menggegarkan trek balapan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk tiga hari pertama -- buat kesekian kalinya, dominasi pelari Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee berakhir dalam acara 200 meter bawah 18 tahun.
Acara tumpuan itu terarah kepada kelibat pemenang acara reben biru, Danish Iftikhar yang dalam misi buruan pingat emas ketiganya -- namun pelari Pulau Pinang, Muhammad Sayyid Amin Roslan, mempunyai cara tersendiri untuk membalas kritikan terhadap dirinya sekaligus mengungguli saingan dengan mudah.
Lenggok tubuh pelari Tingkatan 4 dari SMK Mutiara Impian itu menyimpan seribu satu cerita sebaik sahaja berada dalam posisi standby di blok pelepasan.
Iklan
Bukan hanya mahu mengakhiri dominasi Danish, sebaliknya Sayyid Amin mahu membukti kewibawaan di hadapan Ketua Jurulatih Olahraga Negara, Mohd Poad Md Kassim, yang turun padang untuk aksi tumpuan ini.
Perseteruan Danish-Sayyid bermula sejak berada di peringkat bawah 15 tahun lagi musim lalu -- cuba bezanya kali ini, pelari Pulau Pinang itu lebih bersedia dan menguasai sepenuhnya teknik larian terbaru yang menggunakan kelebihan fizikalnya yang tinggi.
Mula memintas pencabar lain di selekoh menuju 100 meter terakhir -- Sayyid Amin menoktahkan cabaran pesaing terdekat menerusi catatan 21.93 saat -- dengan pingat perak milik Danish.
"Ini merupakan persaingan sihat antara saya dan Danish. Saya amat bersyukur atas kemenangan dalam acara 200m," kata Sayyid.
Dalam saingan wanita pula, Nur Izzati Eliana Suhaidi, melebarkan pengaruhnya dengan menggondol emas kedua peribadi selepas turut muncul terpantas dalam acara 100 meter pada Ahad.
Bukan sekali -- sebaliknya dua kali Nur Izzati menumpaskan pelari pilihan utama, Ormilla Octavia Codday Nyadau dari Sarawak -- kedua-duanya menerusi perbezaan yang tipis.
Biarpun terkesan dengan cuaca hujan renyai dan permukaan trek yang basah ekoran saingan dihentikan selama 30 minit -- menjadi pelari pertama beraksi di trek yang basah selepas kejohanan kembali diteruskan --- tidak menghalang Nur Izzati melakar rekod peribadi terbaik musim ini.
Ormilla terpaksa akur dengan pingat perak manakala Anis Batrisyah Noriezad dari Johor melengkapkan kedudukan podium.
Must-Watch Video