Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa mengurangkan elaun latihan atlet negara, selepas tindakan menggugurkan 144 atlet daripada program latihan kebangsaan.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan tindakan itu terpaksa diambil memandangkan negara memberikan lebih keutamaan terhadap usaha memulihkan ekonomi pasca COVID-19 selain insiden banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.
Pelari pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, antara nama besar yang digugurkan walaupun mengalami kecederaan ligamen lutut sejak 2020.
Dia antara pelari wanita terbaik Malaysia dengan penampilan Sukan Olimpik Rio 2017 selain pingat perak Sukan SEA 2017.
Baki 143 lagi atlet negara sama ada mengambil keputusan bersara, menyambung pengajian atau mencari pekerjaan.
Itu realiti hidup mereka yang terkesan selepas MSN hanya memilih 293 atlet membabitkan normal dan paralimpik ekoran kekurangan bajet.
MSN turut melaksanakan kadar baru elaun latihan.
Selepas ini, pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA akan menerima RM800 sementara emas, RM2,000.
Untuk temasya Sukan Komanwel dan Asia, pemenang emas akan menerima RM4,500 manakala perak RM4,000 dan gangsa RM3,500.
Pemenang emas Sukan Olimpik pula akan menerima bayaran elaun RM7,500 manakala perak RM7,000 dan gangsa RM6,500.
Ammar Hakim
Wed Jan 05 2022