Jaguh angkat berat negara, Aznil Bidin, mengintai peluang untuk mencipta sejarah sekali gus menjadi atlet angkat berat pertama negara yang memenangi hatrik emas di temasya Sukan Komanwel.
Atlet berusia 32 tahun itu memburu pingat emas ketiganya di temasya kali ini selepas dia muncul juara kategori 62 kilogram pada edisi di Gold Coast 2018 -- sebelum Aznil mempertahankan gelarannya itu 4 tahun berikutnya di Sukan Komanwel Birmingham.
Aznil mensasarkan jumlah angkatan keseluruhan 310 kilogram kali ini selepas program latihan di Turkiye berjalan lancar selain dia tidak berdepan sebarang masalah menyesuaikan diri dengan keadaan di Glasgow.
Malah, ini peluang terbaiknya untuk mencipta sensasi tersendiri di bumi Glasgow selepas dia menyamai rekod bekas badang negara, Amirul Hamizan Ibrahim, dengan kilauan dua emas Sukan Komanwel pada edisi Manchester 2002 dan New Delhi 2010.
"Keadaan sekarang ini saya berada dalam keadaan bersedia untuk bersaing, saya mencari hatrik, Amirul raih dua emas jadi saya mahu tiga pingat emas," katanya.
Sementara itu, rakan sepasukan yang juga juara bertahan kategori 55 kilogram, Aniq Kasdan, menyifatkan tekanan bukan beban, sebaliknya ia peluang terbaik untuknya menyerlahkan kredibilitinya biarpun sedar cabaran hebat pencabar kali ini.
"Daripada segi psikologi dan satu lagi perlu yakin, perlu percaya diri dan berikan segalanya." tambah Aniq.