Siri Keempat Allianz Junior Badminton Championship (AJBC) 2026 melabuhkan tirainya hari ini di Stadium Negeri Kuala Terengganu selepas tiga hari berlangsung dengan penyertaan seramai 313 pemain bersaing dalam kategori bawah 11, bawah 13 dan bawah 15 tahun.
Kejohanan itu terus menjadi platform penting dalam pembangunan bakat badminton negara apabila menghimpunkan pemain muda terbaik untuk merebut kelayakan ke Grand Final AJBC 2026.
Dalam kategori Perseorangan Lelaki Bawah 15 Tahun, tumpuan terarah kepada Loo Xuan Le yang meneruskan rentak cemerlang apabila muncul juara selepas menewaskan Wan Muhammad Syakir Adli Mustafa 17-15, 15-4 pada aksi final.
Kejayaan itu membuktikan peningkatan prestasi Xuan Le yang sebelum ini muncul juara Grand Final AJBC 2025 bagi kategori perseorangan lelaki bawah 13 tahun, selain turut menjuarai Pusingan Kedua AJBC 2025 di Perak.
Xuan Le turut melengkapkan aksi cemerlangnya apabila bergandingan dengan William Phoon untuk merangkul gelaran Beregu Lelaki Bawah 15 Tahun selepas menewaskan gandingan Muhammad Aqil Mohamad Zamri-Muhammad Rayyan Barr Hakim 15-13, 9-15, 16-14 dalam satu lagi aksi final yang berlangsung sengit.
Dalam kategori Perseorangan Wanita Bawah 15 Tahun, Tham Yue Mei bangkit selepas tewas set pertama sebelum menewaskan Tengku Nur Qaireen Rysha 20-21, 15-3, 15-3 untuk muncul juara.
Bagi acara Beregu Wanita Bawah 15 Tahun, gandingan Nur Adlina Qaisara Ahmad Muslim-Tengku Nur Qaireen Rysha menjuarai pertandingan selepas menewaskan pasangan Nur Ameera Batrisya Shaikh Abdullah-Nur Qurratul Ain Illiyin Yuswadi 15-9, 15-13.
Saingan kategori Bawah 13 Tahun turut menyaksikan Muhammad Mikael Mohd Fadzli menjuarai Perseorangan Lelaki selepas mengatasi Ahmad Aniq Rafiq Mohd Zariffi 15-12, 15-5.
Dalam Perseorangan Wanita Bawah 13 Tahun pula, Chew Kye Li bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menewaskan Nur Balqis Khatijah Ahmad Redzuan 6-15, 15-13, 15-12.
Chew Kye Li turut menggondol gelaran Beregu Wanita Bawah 13 Tahun apabila bergandingan dengan Law Pei Xuan untuk menewaskan pasangan Ines Seah-Nur Balqis Khatijah Ahmad Redzuan 15-10, 15-10, manakala gelaran Beregu Lelaki Bawah 13 Tahun menjadi milik Ahmad Aniq Rafiq Mohd Zariffi-Hilmaan Haseef Mohd Amir selepas menewaskan gandingan Muhammad Mikael Mohd Fadzli-Syed Muhammad Mikhail 15-11, 12-15, 15-13.
Dalam kategori Bawah 11 Tahun, Lovina Ng Luo Tang muncul juara Perseorangan Wanita selepas menewaskan Nur Alia Zahira Mohd Sabri 10-15, 16-14, 15-10, manakala Nik Muhammad Lutfan Hakim merangkul kejuaraan Perseorangan Lelaki hasil kemenangan 18-16, 15-11 ke atas Muhammad Afiq Khalish Mohd Nasrol.
Selepas selesai saingan di Kuala Terengganu, AJBC 2026 akan diteruskan dengan Pusingan Kelima di Pusat Badminton Prostar IM, Pahang dari 7 hingga 9 Ogos 2026, sebelum jelajah kejohanan diteruskan ke Sarawak, Sabah, Melaka, Kedah dan Pulau Pinang dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat muda badminton negara menjelang Grand Final musim ini.