Skip to main content

Sukan Lain

MSN bakal lakukan "post mortem" keberkesanan Program Podium

podium_1535872796.jpg
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali, mendedahkan pihaknya sedang mengkaji cadangan memindahkan Program Podium di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) dengan keputusannya akan diketahui selepas proses "post mortem" bermula Khamis ini.

Program Podium dijangka melalui perubahan mendadak selepas proses post mortem itu.

Selain peletakan jawatan pengarahnya, Tim Newenham, post mortem itu akan mengkaji semula senarai sukan, atlet dan jurulatih yang boleh dikekalkan berdasarkan pencapaian dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Begitu juga dengan cadangan memindahkan Program Podium di bawah kendalian MSN yang lebih berpengalaman mengurus program latihan atlet.

"Seperti apa yang kami akan bincangkan, ia akan menentukan kedudukan Program Podium selepas ini yang bakal di bawah kendalian MSN," kata Lokman.

Program Podium diwujudkan pada 2016 dengan misi meraih pingat emas sulung Sukan Olimpik tetapi misi itu nampak samar apabila Malaysia gagal berada dalam kelompok 10 negara terbaik Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Ia mewujudkan perdebatan adakah pelaburan jutaan ringgit untuk program termahal itu sesuatu yang berbaloi.

"Kami akan meneliti secara menyeluruh mengenai perbelanjaan program ini, antaranya kos yang dikeluarkan untuk menghantar atlet menjalani latihan serta pertandingan serta pengurusan. Kami akan mencari jalan untuk meningkatkan lagi keberkesanan program ini."

Sementara itu, bekas Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, dalam perkongsian laman sosial menyifatkan Program Podium sudah hilang arah tuju sejak diperkenalkan pada 2016.

Ini kerana terlalu banyak sasaran ditetapkan sendiri oleh pegawai Program Podium sedangkan objektif penubuhannya ialah memburu pingat emas sulung Sukan Olimpik.

Banyak sukan yang meraih pingat emas sama ada dalam Sukan Komanwel atau Sukan Asia tidak dipertandingkan atau terlalu sukar meraih gangsa Olimpik Tokyo. 

Ia mewujudkan persoalan adakah program sukan termahal negara ini sudah tergelincir daripada landasan sebenar?

Advertisement

Must Watch Video