Saga perebutan jawatan presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang memasuki episod baru apabila pencabar utama kerusi nombor satu badan induk itu, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, mengesahkan ada usaha untuk tidak membenarkan beberapa ahli gabungan sukan bertanding.

Jika benar khabar angin ini menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM tiga hari lagi, nyata ia merupakan senario yang tidak sihat dalam dunia sukan negara.

Shapawi yang merupakan bekas ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) turut mengesahkan niatnya bertanding untuk jawatan tertinggi MPM bukan hanya keseorangan, malah datang dalam bentuk pasukan besar 'Gerakan Paralimpik Negara 2024'.

"Saya pun tidak tahu mengapa MPM mendiamkan diri tentang senarai pencalonan.

"Setakat ini secara umumnya kita tidak tahu siapa yang dibenarkan bertanding. MPM dilihat mendiamkan diri hingga dua hari lagi undian.

"Sepatutnya kami sudah tahu siapa yang dibenarkan dan layak bertanding, lawan siapa. Kami bukan nak pergi berperang, kami menawarkan diri untuk bertanding secara terhormat.

"Saya harap tahun ini tidak akan berlaku kontroversi sepertimana pemilihan lepas. Pencalonan Khairy (Jamaluddin) telah ditolak ekoran melebihi tempoh masa," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.