MPL MY
MPLMY S-15: SRG.OG bagaikan tersentak daripada lamunan
Juara bertahan Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang Malaysia (MPL MY) Musim Ke-15, Selangor Red Giants (SRG).OG Esports menyambar slot pertama negara ke Mid Season Cup (MSC) 2025 selepas layak ke pentas Grand Final MPLMY dengan menundukkan Homebois 3-2, malam tadi.
Gergasi Merah yang juga merupakan juara bertahan MSC berpeluang mengekalkan status sebagai juara dunia di Riyadh, Arab Saudi.
Cerita kejayaan SRG.OG menafikan kebangkitan Homebois -— berpaksikan kehebatan gold laner, John Vincent Banal —- atau lebih dikenali sebagai Innocent selepas tonggak import dari Filipina itu memainkan watak penting kemenangan dramatik tersebut.
Iklan
Kebijaksanaan Innocent dalam memainkan peranan gold laner dengan pemilihan hero, Moskov, yang memiliki nilai mobiliti yang tinggi selain kepantasan ketika menyerang jadi kunci utama pengaruh Innocent terus bermaharajalela dalam MPLMY.
Selain Moskov, Innocent turut cemerlang ketika menggunakan hero “Wan Wan“ sehingga diangkat sebagai Pemain Terbaik Perlawanan dengan merekodkan 'kill death assist' (KDA) 19-4-24.
Detik kebangkitan SRG.OG pada ketika kedudukan terikat 2-2 diinspirasikan daripada kisah kejayaan kempen tahun lalu hingga motivasi pemain melonjak tinggi dalam pertemuan kali ini.
"Saya masih tidak percaya dengan kejayaan MSC yang lalu dan mahu melakarnya sekali lagi.
"Kali pertama kami menang, ia bagaikan keajaiban. Kami sebagai rakan sepasukan baru, kami juga berdepan jatuh dan bangun.
"Kegagalan dalam M6 telah membuka mata kami, mungkin persiapan kami tidak cukup, mungkin terlalu ambil mudah dan tidak tegas.
"Ia mengajar kami untuk melatih dengan lebih baik," kata jurulatih taktikal SRG.OG, Poon Kok Sing.
Jurulatih MLBB Homebois, Ervan Pratama, pula menelan kepahitan kali ini sambil mengakui ia berpunca daripada tindakan mereka sendiri.
"Persiapan kami tidak bagus.
"Kami banyak buang masa, tidak bersungguh-sungguh. Kami perlu nilai semula permainan hari ini untuk penambahbaikan," katanya.
Must-Watch Video