MPFL
MPFL: Dua gol pantas pacu KL City benam Kedah di laman sendiri
Kuala Lumpur (KL) City meneruskan permulaan positif dalam kempen Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2025 apabila merekodkan kemenangan kedua daripada tiga perlawanan pertama liga selepas menundukkan Kedah 5-1, di laman sendiri.
Pertemuan yang berlangsung di Kompleks Sukan ISN Raja Muda, Kuala Lumpur itu memperlihatkan jurang kualiti berbeza antara pasukan tuan rumah dan skuad kendalian Aidiel Abdullah yang masih bergelut mencari keserasian.
KL City bermula garang dengan dua gol pantas dalam tempoh seminit menghukum kecuaian pertahanan Kedah untuk Daniel Almeida meledak gol pembukaan minit ke-10 sebelum Navin Das Arokiadass pantas menggandakan kedudukan untuk mematikan langkah pasukan pelawat.
Iklan
"Ini adalah kekalahan kedua, pemain gementar dan saya tidak tahu apa yang terjadi malam ini dan kami perlu melakukan analisis. Aksi kali ini pemain tidak beraksi dengan baik.
"Ini adalah divisyen satu jadi banyak tekanan, walaupun kalah kami akan buat yang terbaik untuk aksi akan datang," kata jurulatih futsal Kedah, Aidiel Abdullah.
Tidak lama kemudian, giliran Syahmi Rosli mencetak nama selaku penjaring dengan penyudah kemas, meskipun Kedah cuba untuk melakar kebangkitan namun ia hanya bersifat sementara apabila anak buah Jerry Dinesh menambah derita Kedah dengan tambahan dua gol dari Almeida sekali gus mencetak hatrik pertamanya di pentas MPFL.
"Dalam futsal kami memerlukan sokongan. Kami akan kekal dengan apa yang ada, dengan harapan terus bersaing dan mungkin ada individu yang ingin berikan tonik tambahan dari segi kewangan." tambah jurulatih KL City, Jerry Dinesh.
Must-Watch Video