Skip to main content

Sukan Lain

"Misi kami tercapai"

150117mashuri.jpg

"Walaupun tewas tapi misi kami tercapai,”, demikian kata jurumudi pasukan Malaysia, Armed Force Team 1, Mohd Masyuri Rahmat yang berpuas hati dengan pencapaian pasukannya biarpun gagal meraih kejuaraan kategori sportboats Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi 2017.

Malaysia Armed Force Team 1 terpaksa akur dengan kehebatan pasukan Royal Selangor Yacht Club (RSYC) yang berjaya merampas kedudukan keseluruhan pada hari terakhir perlumbaan, sekaligus dinobatkan juara kategori sportboats dengan 18 mata.

Meskipun meraih tempat kedua dengan meraih 21 mata, Masyuri dan krewnya tetap berpuas hati kerana dapat menewaskan seteru dari Thailand, Pan Pacific yang berada di tempat ketiga dengan 23 mata, 

Pan Pacific yang dibarisi tentera laut Thailand pernah mencabar Musyari dan krewnya ketika saingan Regatta Phuket Piala Raja Thai, Disember tahun lalu.

"Kami tidak kecewa, sebelum ini pasukan dari Singapura yang berjaya memenangi pertandingan ini, dan kali kami pasukan dari Malaysia berjaya melakukannya dan ia sudah memadai buat kami," kata Masyuri.

Dalam kategori racing pula, jurumudi pasukan THA 72, Don Whitcraft dari Thailand ternyata  tidak menyangka mampu mengetuai botnya untuk dinobatkan sebagai juara bagi edisi kali ini,

Baru berusia 21 tahun, Don sudah pun berjinak dengan dunia pelayaran sejak berumur 6 tahun dan sudah menyertai beberapa jenis kategori pelayaran antaranya laser 4.7 dan viper.

"Saya sangat gembira dan menikmati pertandingan kali ini, kami telah berjaya menghasilkan aksi yang sangat baik walaupun terpaksa mengharungi saingan yang agak sukar," ujar Whitcraft.

Advertisement

Must Watch Video