Skip to main content

Permotoran

Misi besar Adam dalam kancah Moto3

adam-moto3.jpg
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, meletakkan harapan yang lebih tinggi buat pelumba negara, Adam Norrodin, untuk meraih keputusan lebih membanggakan dalam penyertaan tahun ketiganya dalam saingan Moto3. 

Walaupun sudah tiga musim beraksi dalam saingan Moto3, pembabitan Adam banyak dibayangi oleh kejayaan rakan senegara yang mewakili pasukan Honda, Khairul Idham Pawi. 

Begitupun, Razlan mempunyai keyakinan bahawa Adam kini semakin matang dan tidak mustahil dia mampu mencipta kejutan musim ini. 

"Dia perlu berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik. 

"Kami perlu menilai prestasinya untuk menyertai Moto2 pada 2019," kata Razlan dalam majlis pelancaran dan pengumuman pasukan Petronas Sprinta Racing di SIC, hari ini. 

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Strategik Komunikasi Petronas, Zahariah Abdul Rahman. 

Kerjasama selama tiga tahun ini menyaksikan Petronas dan SIC akan memastikan cabaran negara dalam kategori Moto3 diteruskan menerusi program pengejar impian yang menyasarkan pelumba berusia dalam lingkungan 12 hingga 15 tahun di samping menghantar mereka menyertai Kejohanan CEV di Eropah dan juga Kejohanan Motosikal Asia (ARRC). 

"Saya mahu mencabar diri sendiri, semestinya sasaran saya pada tahun ini amat tinggi, iaitu menaiki podium," kata Adam. 

Selain Adam, pasukan itu akan diwakili pelumba muda dari Jepun, Ayumu Sasaki. 

"Tahun ini kami menyasarkan podium. Ia pasti sukar tetapi kami akan cuba memperbaiki prestasi dalam setiap perlumbaan selain sentiasa cuba menduduki kelompok hadapan," kata Sasaki. 

Bagi kedua-dua pelumba itu, mereka sedar cabaran yang bakal dihadapi, namun sedia membuktikan kemampuan masing-masing dalam memburu kejayaan buat pasukan Petronas Sprinta Racing. 

 

Advertisement

Must Watch Video