Lagenda Bina Badan Negara, Datuk Syahrul Azman Mahen Abdullah kini selangkah lagi dalam usaha merealisasikan impiannya untuk menjadi ketua jurulatih selepas mengumumkan persaraannya pada 22 Mac lalu.

Begitupun, peluang keemasan itu hadir dari negara jiran dan bukannya daripada Persatuan Bina Badan Malaysia (MBBF).

Dia kini masih dalam proses memperhalusi segala butiran lamaran tersebut sebelum memutuskan sebarang kata putus.




Difahamkan juga dia yang lebih dikenali dengan panggilan Mike Mahen terpaksa meninggalkan perananya sebagai pengerusi bahagian pembanggunan di MBFF sekiranya bersetuju untuk menerima tawaran tersebut.

"Ada sebuah negara dari Asia Tenggara yang menghubungi saya dan memberikan tawaran menjadi ketua jurulatih sempena program temasya Sukan SEA 2025 nanti.

"Mereka ingin membuat persediaan awal dengan tawaran untuk jangka masa pendek malah untuk jangka masa panjang sehingga Sukan SEA di Kuala Lumpur nanti.

"Saya akan mengambil sedikit masa untuk berfikir terlebih dahulu sebelum memberikan kata putus kemudian saya akan berbincang bersama MBBF.

"Sebagai anak jati Malaysia saya lagi gemar melatih pemain muda kita sendiri berbanding pemain muda luar negara. Tetapi jika tidak ditawarkan di sini sebagai ketua jurulatih maka saya akan pergi ke luar." katanya.