SEPAK TAKRAW
Mi goreng sebungkus kongsi ramai-ramai penangan elaun belum masuk
Bukan senang mahu senang, Bukan susah mahu susah”
Perkataan inilah yang sentiasa menjadi ingatan kepada aku sebagai bekas pemain sepak takraw wanita negeri Sabah.
Mula berkecimpung di dalam sukan ini pada tahun 2007 dan beraksi di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2012.
Iklan
Walaupun ketika itu skuad wanita Sabah baru sahaja ditubuhkan tetapi ia telah membuka mata semua pihak kerana penyertaan pertama kali itu menghasilkan dua butir pingat gangsa.
Namun, di sebalik dua butir pingat gangsa itu terselit kesusahan dan cabaran yang dihadapi setiap pemain dan barisan kejurulatihan.

Aku yakin setiap manusia ada dugaan tersendiri, begitu juga aku. Masih segar diingatan ketika 2011, kami berkongsi makanan (mee goreng) yang dibungkus (dalam plastik) oleh pengurus kerana elaun belum diterima.
Jika dibandingkan elaun yang diberikan kepada pemain sekarang, terlalu jauh perbezaannya.
Dan ketika itu juga kami tidak mahu membebani orang tua yang berada di kampung kerana jarak ke Pekan mengambil masa yang agak lama.
Namun, jerih payah yang dilalui itulah aku jadikan sebagai pedoman kemana-mana aku pergi tidak kira dalam bidang sukan ataupun pekerjaan.
12 tahun sudah berlalu dan aku sungguh bangga dengan pencapaian pasukan sepak takraw wanita Sabah yang terus mendominasi setiap acara yang dipertandingkan ketika SUKMA.
Pada 4 April 2020 aku pernah menulis artikel mengenai ”Sepak Takraw Wanita Memerlukan Penambahbaikan” dan aku turut menyelitkan sedikit resepi kejayaan yang dikecapi pasukan sepak takraw wanita Sabah.
Mungkin ada sesetengah pihak yang setuju seperti aku mungkin ada juga sebaliknya.
Bukan menidakkan kemampuan jurulatih tempatan, namun banyak perbezaan ketara kerana aku pernah berasakan situasi tersebut.

Dan berbalik kepada pasukan sepak takraw wanita Sabah, sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2021/2022. Sekali lagi pasukan ini mengungguli kategori “Pasukan Wanita Terbaik” sekaligus lakar hatrik.
Ini bermakna, sepak takraw wanita Sabah masih berada di landasan terbaik dan menjadi pasukan yang digeruni di pentas SUKMA.
Dan besar harapan aku untuk melihat legasi yang ditinggalkan ini untuk terus menyinar dan mengharumkan nama negeri Sabah bukan sahaja diperingkat domestik tetapi antarabangsa juga.
Must-Watch Video