GOLD COAST 2018
Menembak: Skuad menembak bakal kaji semula pendekatan
Skuad menembak negara mengulangi pencapaian buruk empat tahun lalu di Glasgow apabila hanya membutirkan satu pingat gangsa dalam Sukan Komanwel 2018.
Namun, berdasarkan reputasi sembilan penembak yang dipertaruhkan, menembak mempunyai potensi untuk mencapai kejayaan membanggakan berbanding temasya empat tahun lalu.
Ketika itu, skuad menembak hanya mampu membawa pulang satu pingat gangsa menerusi Nur Suryani Taibi dalam acara 10 meter air rifle wanita.
Iklan
Begitupun, episod sama berulang kali ini apabila hanya satu gangsa berjaya digenggam menerusi Alia Sazana Azahari dalam acara 25m pistol wanita.
"Secara keseluruhan ia tidak begitu membanggakan tetapi satu gangsa adalah hadiah yang dapat disumbangkan dalam Sukan Komanwel kali ini," kata jurulatih negara, Sabki Mohd Din.
Temasya edisi ke-21 ini menyaksikan pencapaian buruk beberapa penembak, antaranya Johnathan Wong selaku atlet Program Podium.
Dia yang beraksi dalam Sukan Olimpik Rio 2016 menamatkan saingan di tempat ketujuh acara 50m pistol serta tempat kelapan 10m air pistol, satu persembahan yang cukup mengecewakan.
Nur Suryani pula gagal meraih pingat dalam tiga acara yang disertainya manakala bidikan Ezuan Nasir Khan, Hasli Izwan Amir Hassan dan Bibiana Ng turut hambar apabila gagal menempatkan diri di pentas final.
"Komitmen yang Nur Suryani berikan cukup baik dan dia telah berusaha tetapi persembahannya terlalu berhati-hati.
"Saya ada berbincang dengan jurulatih dari Korea Selatan dan selepas kejohanan ini, kami akan melakukan rumusan baru untuk program akan datang," katanya lagi.
Must-Watch Video