GOLD COAST 2018
Menembak: Sakit misteri hampir ragut impian Alia
Dugaan sakit misteri selama dua bulan dialami penembak negara, Alia Sazana Azahari, terbayar dengan pingat gangsa acara 25 meter pistol Sukan Komanwel Gold Coast, hari ini.
Gangsa yang dimenangi bukan hadir dengan mudah apabila Alia sebelum ini bergelut dengan sakit misteri dari September hingga November tahun lalu.
Ia mengekang tempoh persiapan buat penembak berusia 27 tahun itu dan dia sendiri mengakui berdepan kesukaran untuk mendapatkan kembali momentumnya.
Iklan
Namun, kejayaan di Pusat Menembak Belmont itu ibarat membayar kembali segala kesukaran yang dihadapinya.
"Tidak sangka ada banyak komplikasi. Sebelum ini, saya berada di hospital kira-kira dua bulan.
"Selepas keluar, saya ada tiga bulan untuk kembali kepada prestasi sebenar bagi mengharungi Sukan Komanwel.
"Tidak kira apa yang perlu dilakukan, saya mesti lakukan dalam tempoh tiga bulan itu," katanya.
Alia juga merakamkan penghargaan kepada rakan sepasukannya, Bibiana Ng Pei Chin, kerana membantu dalam latihan, lantas menyifatkan gangsa itu sebagai kejayaan bersama.
"Sudah tentu saya tidak dapat lakukan tanpa Bibiana. Dia banyak membantu saya.
"Dia memberi tekanan kepada saya dalam latihan untuk berada di atas saya. Ia membuatkan saya bekerja lebih keras lagi," kata Alia lagi.
Must-Watch Video