GOLD COAST 2018
Menembak: Bibiana, Ezuan gagal ke final
Skuad menembak negara bermula langkah kiri apabila dua penembak, Bibiana Ng Pei Chin dan Mohd Ezuan Nasir Khan, gagal menempatkan diri dalam final selepas tewas saingan kelayakan acara masing-masing dalam Sukan Komanwel di Pusat Menembak Belmont, Gold Coast, hari ini.
Bibiana, yang bertanding dalam acara 10m air pistol, gagal berada dalam kelompok lapan terbaik apabila menduduki tempat ke-11.
Dia nyata kecewa dengan aksinya yang melakukan bidikan 370 mata dan enggan memberikan sebarang komen selepas pertandingan.
Iklan
Emas acara itu dimenangi Manu Bhaker dari India, Heena Sidhu (India) meraih perak dan Elena Galiabovitch (Australia) memperoleh gangsa.
Ezuan juga tidak dapat mengulangi pencapaian dalam temasya Glasgow empat tahun lalu selepas gagal meneruskan kemaraan dalam acara 10m air rifle.
Dia menamatkan pusingan kelayakan di tempat kesembilan dengan bidikan 614.6 mata.
"Tidak dapat masuk ke final ada sedikit kecewa. Saya sudah buat sehabis baik dan berjuang sehingga bidikan terakhir. Pada permulaan, ada goyang sedikit," katanya.
Atlet tuan rumah, Dane Sampson, memenangi emas, Abdullah Hel Baki (Bangladesh) merangkul perak dan gangsa menjadi milik Ravi Kumar (India).
Must-Watch Video