Skip to main content

Sukan Asia

Menembak: Bibiana, Alia mara ke final 25m pistol

ezuan.jpg
Penembak negara, Bibiana Ng Pei Chin dan Alia Sazana Azahari, mara ke final acara 25 meter pistol selepas meraih kelompok lapan terbaik aksi kelayakan Sukan Komanwel Gold Coast, sebentar tadi. 

Alia meraih tempat keenam selepas membidik 571 mata tatkala Bibiana di kedudukan kelapan dengan 569 mata. 

Kedua-duanya mempamerkan aksi konsisten sepanjang saingan kelayakan dan kejayaan itu menerbitkan harapan pingat dalam acara menembak, terutama selepas Alia menduduki tempat keempat, empat tahun lalu. 

Walaupun peluang agak sukar untuk Bibiana, namun layak ke final diharap mampu memberi suntikan semangat baru selepas kecewa di tempat ke-11 pada hari pertama saingan acara 10m air pistol. 

Dalam perkembangan lain, akibat tergesa-gesa ingin menghabiskan tembakan, penembak rifle negara, Muhammad Ezuan Nasir Khan, menerima padah apabila mengakhiri saingan 50m rifle prone di tempat ke-11. 

Ezuan gagal mara ke final selepas membidik 609.6 mata dalam pusingan kelayakan. Dia tiada masalah untuk membidik mata terbaik pada awal saingan sebelum hilang fokus pada 30 tembakan terakhir yang perlu dilakukan dalam masa 20 minit. 

Melihat kepada masa yang cukup terhad, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu hanya memikirkan untuk menghabiskan tembakan yang kemudian mengundang kepada keputusan tidak memuaskan. 

"Di penghujung tembakan tadi agak tidak menentu disebabkan angin yang kuat, jadi saya harus mengawal situasi itu dan juga teknik saya sendiri. 

"Kemudian, masa berbaki 20 minit dan saya perlu menghabiskan 30 tembakan lagi, jadi saya perlu mengejar masa.

"Saya fikir, apa jadi sekalipun saya perlu menghabiskan tembakan," kata Ezuan.

Gagal untuk mara ke final dalam kedua-dua acara yang disertainya, Ezuan mengakui perlu menilai semula prestasinya selepas ini. 

"Walaupun keputusan dapat dilihat, kami sudah cuba yang terbaik," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video