Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Masih terlalu awal untuk berikan Azeem tekanan -- Zainal

azeem-fahmi.jpg
Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Zainal Abas, tidak mahu terburu-buru dalam memberikan tanggungjawab besar kepada "putera pecut Asean", Azeem Fahmi, selepas pelari muda itu mengharumkan nama negara dalam Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara di Filipina, semalam.

Azeem beraksi cemerlang untuk meraih pingat emas acara 100 meter dengan memecahkan rekod temasya itu menerusi catatan 10.63 saat.

Rekod itu sebelum ini dipegang pelari muda Thailand, Rattanopon Sowan, dengan catatan 10.74 saat yang dilakukannya dalam edisi Jakarta 2011.

Bagi Zainal, pelari berusia 15 tahun itu masih terlalu muda untuk diberikan tekanan dengan menyertai kejohanan besar seperti Sukan SEA, namun percaya terhadap kemampuan Azeem untuk memberikan pencapaian lebih baik pada masa akan datang.

"Jangan terlalu terburu-buru untuk meletakkan terlalu banyak harapan atau tanggungjawab ke bahu seorang pelajar berusia 15 tahun itu.

"Azeem perlu diberikan ruang untuk berkembang secara semula jadi," katanya.

Tambah Zainal, jika pelari remaja itu dapat meneruskan peningkatan kosisten, dia mampu menjadi pencabar hebat kepada pelari senior seperti juara Sukan Malaysia (Sukma), Muhammad Aqil Yasmin, dan pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan.

"Saya harap jurulatih yang membimbingnya ketika ini dapat memikirkan tentang pertimbangan itu untuk tidak terlalu ghairah dalam menghasilkan pencapaian yang terlalu mendadak.

"Apa yang penting adalah kejayaan jangka panjang buat atlet itu agar dia dapat bertahan dengan lebih lama," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video