Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Masca tampil selesaikan dilema Syazwan

para-syazwan.jpg
Permasalahan yang membelenggu atlet berbasikal lebuh raya para negara, Syazwan Roshdi, sehingga dirinya menjadi tular minggu lalu akhirnya terlerai apabila Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, tampil menghulurkan bantuan pekerjaan.

Selepas tidak lagi di bawah naungan Majlis Sukan Negara (MSN) sejak Disember lalu, Syazwan membulatkan tekad untuk mencari pekerjaan dan melupakan seketika kerjaya berbasikal lebuh raya.

Bantuan dihulur Shahriman itu tepat pada masanya dengan beliau menawarkan pekerjaan buat Syazwan sebagai pentadbir dalam Masca yang juga merupakan pekerjaan pertama atlet berusia 22 tahun berkenaan.

"Pada mulanya Datuk Seri Shahriman bertanya adakah saya masih berminat untuk meneruskan karier dalam berbasikal memandangkan saya masih muda, saya cuma perlu mendapatkan semula rentak. 

"Tetpai, saya perlu menggandakan latihan kerana selepas kontrak saya bersama MSN berakhir, saya langsung tidak sentuh basikal. 

"Jadi, saya memilih untuk mendapatkan pengalaman bekerja," jelas Syazwan.

Tambah Shahriman: "Walaupun bidang kanu dan berbasikal berbeza, mungkin Syazwan boleh mencuba para kanu dan saya sememangnya ingin memberi peluang kepada atlet sepertinya. 

"Dengan bukti pengorbanan dan keazamannya yang sangat tinggi sehingga terdorong untuk ke Singapura, saya inginkan atlet sepertinya."

Nama Syazwan hangat menjadi sebutan minggu lalu selepas kenyataan Rizal Tisin yang menemui pemenang pingat emas berbasikal lebuh raya kategori C1, C2, C3 Sukan Para ASEAN 2017 itu di surau Kompleks Kastam Johor selepas dia didakwa ditipu kenalan yang menjanjikan pekerjaan di Singapura untuknya.

Bagai jatuh ditimpa tangga, sebelum ke Singapura, Syazwan turut menjadi mangsa penipuan seorang lagi kenalan yang meminjam duitnya tetapi gagal membayar sehingga kini.




 

Advertisement

Must Watch Video