Skip to main content

Hoki

Marhan tidak rela pisang berbuah dua kali berdepan Maybank

310117-pemain-berpengalaman-universiti-kuala-lumpur-unikl-marhan-jalil.jpg
Pemain berpengalaman Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Marhan Jalil, meletakkan misi wajib menang menjelang empat aksi Liga Hoki Malaysia (LHM), bermula dengan perlawanan menentang Maybank, Jumaat ini. 

UniKL, yang kini berada di tangga keempat liga, berpeluang mengejar kedudukan Terengganu Hockey Team (THT), Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

Berdasarkan baki empat perlawanan, UniKL bakal bertemu semua pasukan kelompok bawahan seperti TNB-Thunderbolt, UiTM-KPT, SSTMI dan Maybank. 

Justeru, dia berharap rakan sepasukan dapat mengelak sebarang keciciran mata bagi menghidupkan peluang memburu kejuaraan Liga Perdana. 

"Di atas kertas, hanya THT, KLHC, TNB dan Maybank yang dianggap boleh memberi cabaran. 

"Jadi, perlawanan dengan pasukan-pasukan lain dianggap wajib menang. 

"Untuk perlawanan dengan Maybank nanti, kami wajib menang sebab tidak mahu mata kami ketinggalan dengan pasukan-pasukan lain," katanya.

Marhan menganggap perlawanan berdepan Maybank pada 15 Februari nanti paling sukar kerana skuad kendalian Wallace Tan itu pernah mengejutkan mereka dalam suku akhir Piala Tan Sri P. Alagendra. 

Jelas Marhan, mereka perlu memperbaiki kelemahan ketara di bahagian penyudah yang menyaksikan mereka tewas 2-1. 

"Dalam perlawanan berkenaan, kami memiliki lima atau enam peluang terbuka. Dari situ, Maybank mengambil kesempatan di atas peluang yang diperolehi. 

"Situasi itu membuatkan kami sedikit kecewa."

Advertisement

Must Watch Video