Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan keselamatan dan tahap profesionalisme dalam sukan permotoran dengan mewujudkan garis panduan komprehensif bagi acara perlumbaan drag dan motocross.
Garis panduan yang meliputi aspek pengenalan, perundangan, penguatkuasaan, keselamatan dan pengendalian penganjuran telah diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi meraih persekitaran selamat dan terkawal.
Antaranya seperti berikut: Sukan Drag merupakan sejenis sukan permotoran di mana jentera 4 roda dan 2 roda yang terbahagi kepada dua definasi berbeza iaitu dari segi ujian kepantasan masa dengan catatan berseorangan atau dua jentera dilepaskan dalam satu masa.
Perlumbaan ini dilangsungkan dalam suatu litar yang pendek dan lurus dari kedudukan mula, mengikut jarak 201 meter atau 402 meter.
Manakala sukan Motocross pula sukan popular yang dianjurkan di litar “off-road” dalam sukan 2 roda. Sukan ini menguji kemahiran, kelajuan dan ketangkasan pelumba.
Sukan ini melibatkan kategori profesional dan amatur, dan acara diadakan di seluruh dunia untuk pelumba dari semua peringkat.
MAM ingin berterima kasih kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan kerana melalui kolaborasi ini dua garis panduan telah berjaya dikeluarkan dan satu initiatif penting untuk pembangunan sukan permotoran Malaysia,” kata Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
"Dengan perlaksanaan garis panduan ini, MAM sentiasa peka dan meletakkan garis panduan
ini keutamaan bagi setiap penganjuran perlumbaan terutamanya drag dan motocross.
Tumpuan kepada keselamatan dan profesionalisme akan memupuk komuniti sukan permotoran yang lebih mampan dan inklusif yang boleh berkembang maju untuk tahun-tahun akan datang." tambah Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Langkah ini dibuat selepas MAM mengumumkan untuk membangunkan rangka kerja dalam memastikan kelancaran dan keselamatan penganjuran acara yang dibenarkan.
Pelaksanaan garis panduan ini dijangka dapat memupuk suasana sukan permotoran yang lebih teratur dan selamat di Malaysia dan dapat mengurangkan risiko kemalangan seterusnya meningkatkan pelaksanaan aktiviti sukan bermotor yang terkawal dan selamat.
Saufi Tahir
Thu Aug 29 2024