Skip to main content

Hoki

Malaysia sekat hajat New Zealand menang besar

dhaarma-raj.jpg
Skuad hoki wanita negara menafikan impian New Zealand yang bercita-cita mahu mencetus kemenangan besar dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Hoki Dunia di Brussels semalam apabila keputusan akhir menyaksikan kemenangan tipis 1-0 di pihak lawan.

Selepas kejayaan Belgium membelasah Malaysia 9-0 tempoh hari,  New Zealand turut tidak mahu melepaskan peluang tersebut.

Impian mereka menampakkan tanda positif pada awalnya apabila berjaya mencipta jaringan di pembukaan perlawanan.

New Zealand berpeluang menggandakan jaringan menerusi pukulan sudut penalti, namun barisan pemain negara berjaya menafikan gol kedua yang dicari-cari skuad All Whites.

Memasuki suku kedua perlawanan, New Zealand dan Malaysia masing-masing mendapat peluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal dimanfaatkan.

New Zealand terus mendominasi perlawanan sehinggalah pengadil meniupkan wisel penamat.

"Cara kita bertahan dalam situasi pukulan sudut penalti harus diberi pujian. Lawan kita ini bukan pasukan kecil tetapi pasukan handalan dunia.

"Untuk kita berjaya menafikan jaringan daripada 11 pukulan sudut penalti mereka, itu sudah boleh dianggap sebagai satu kejayaan," kata ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Sementara itu, pengendali New Zealand, Mark Hager, mengakui pihaknya sedikit kecewa kerana gagal melunaskan peluang terhidang.

"Kami sedikit kecewa kerana kami mendapat peluang yang banyak menerusi pukulan sudut penalti tetapi pujian harus diberikan kepada Malaysia kerana mereka bertahan dengan baik," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video