Skip to main content

Hoki

Malaysia ke final selepas kecewakan Itali

210117tigress.jpg

MALAYSIA 2 ITALI 2
(Malaysia menang 2-1 menerusi penentuan penalti)

Sikap tidak mudah mengalah skuad hoki wanita negara berjaya membawa pasukan itu melangkah ke pentas akhir Liga Hoki Dunia Wanita Pusingan Kedua selepas menumpaskan Itali di Stadium Hoki Tun Razak, malam ini.

Malaysian Tigress menang menerusi penentuan pukulan penalti 2-1 selepas terikat 2-2 dalam tempoh 60 minit perlawanan.

Kejayaan mara ke final juga secara automatiknya melayakkan Malaysia untuk beraksi dalam Liga Hoki Dunia Wanita Peringkat Separuh Akhir di Belgium atau Afrika Selatan selepas ini.

Pasukan negara bermula baik dan memperoleh pukulan sudut penalti yang pertama pada minit ketujuh. Namun, ia gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Sebaliknya, Itali terlebih dahulu berada di depan pada minit kesembilan melalui gol padang selepas pemainnya, Maria Garraffo, yang hanya berdepan Farah Ayuni, berjaya menolak masuk gol pertama untuk pasukannya.

Tidak mudah mengalah, skuad wanita negara mengatur beberapa gerakan untuk bangkit dan mereka memperoleh satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-13.

Hasil daripada pukulan sudut penalti itu, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan apabila Fazilla Sylvester Silin menolak kencang bola ke sebelah kanan gawang gol Itali untuk mengikat kedudukan 1-1.

Pasukan Itali yang berada di ranking ke-15 dunia memperoleh gol kedua, kali ini menerusi pukulan sudut penalti daripada Agata Wybieralska pada minit ke-18. Dia menolak kencang bola untuk mengelirukan penjaga gol Malaysia bagi membolehkan Itali mendahului 2-1.

Malaysian Tigress yang mendapat sokongan padu daripada penyokong berjaya bangkit sekali lagi untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-26.

Gol itu hadir selepas bola hantaran Fazilla Sylvester Silin gagal dikeluarkan pertahanan Itali dan Hanis Nadiah Onn berjaya menolak masuk gol penyamaan 2-2. Kedudukan seri itu kekal sehingga separuh masa pertama tamat.

Bermula babak kedua, Malaysia hampir-hampir mendapat gol ketiga, namun pukulan Wan Norfaiezah sedikit sahaja tersasar. Begitu juga Itali yang memperoleh beberapa peluang keemasan tetapi ketangkasan Farah Ayuni berjaya menafikan percubaan bahaya pasukan itu.

Perlawanan terus berlangsung menarik dengan aksi serang menyerang dipentaskan oleh kedua-dua pasukan selepas itu. Dalam suku terakhir perlawanan, Itali memperoleh peluang terbaik apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti seminit sebelum perlawanan tamat, namun mereka gagal menyudahkannya, sekaligus mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti.

Dalam penentuan penalti, sekali lagi ia berlangsung dengan penuh mendebarkan. Daripada lima pukulan kesemuanya, hanya pada pukulan keempat, iaitu menerusi Dalila Mirabella untuk Itali dan Fatin Shafika untuk Malaysia yang berjaya menjaringkan gol.

Penentuan penalti sudden death selepas itu menyaksikan Fatin Shafika muncul wira negara apabila sekali lagi berjaya menyudahkan gol kemenangan untuk pasukan negara selepas pemain Itali, Valentina Braconi, gagal menjaringkan gol untuk membawa pasukan negara ke pentas final bertemu Ireland esok.

Satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung pada sebelah petang tadi, Ireland terlebih dahulu menempatkan diri ke final setelah mengatasi Wales 2-0. Kedua-dua gol penting pasukan Ireland hadir tiga minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Gol pertama Ireland yang merupakan pasukan di ranking ke-16 dunia diperoleh menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-27 melalui Yvonne O’Byrne.

Selang seminit selepas itu, Ireland mendapat gol kedua yang juga gol kemenangan melalui gol padang yang dihasilkan pemain berjersi 26, Anna Oflanagan, menerusi satu pukulan deras menewaskan penjaga gol Wales, Rose Thomas.

Keputusan Separuh Akhir:

Malaysia 2-2 Itali, Malaysia menang penentuan penalti 2-1
Ireland 2-0 Wales

Jadual perlawanan esok

1.45PM 7/8: Hong Kong lwn Kazakhstan

4.00PM 5/6: Singapura lwn Thailand

6.15PM 3/4: Wales lwn Itali

8.30PM FINAL: Ireland lwn Malaysia

 

Advertisement

Must Watch Video