Skip to main content

Sukan Lain

LTDL 2017: Laluan asal di Terengganu dikekalkan

emir-abdul-jalal.jpg

Kemelut penganjuran Le Tour De Langkawi 2017 (LTDL 2017) di antara pihak penganjur serta kerajaan negeri Terengganu selesai apabila laluan asal di negeri Pantai Timur itu dikekalkan.

Sebelum ini, timbul keraguan terhadap laluan perlumbaan yang dijadualkan bermula di Terengganu selepas penganjur menggugurkan laluan peringkat pertama dan kedua berikutan masalah penajaan dan kos.

Dua peringkat itu membabitkan laluan Kuala Berang-Kuala Terengganu serta Jerteh-Gerik.

Namun, inisiatif penganjur menerusi Ketua Pegawai Eksekutif, Emir Abdul Jalal, untuk bertemu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Razif Abdul Rahman, melahirkan keputusan positif.

Perkembangan ini juga menyaksikan kerajaan negeri Terengganu bersetuju untuk menaja keperluan logistik dan juga penginapan bagi dua peringkat berkenaan.

"Kami telah pun mencapai persetujuan di mana Le Tour de Langkawi akan kembali ke Kuala Terengganu dan dua peringkat pertama akan diteruskan di Terengganu mengikut perancangan asal," jelas Emir.

Dalam pada itu, Emir meletakkan pihaknya dalam keadaan 90 peratus bersedia ketika ini bagi penganjuran perlumbaan berbasikal berprestij di Asia itu.

Beberapa pasukan telah menghantar penyertaan masing-masing meskipun pasukan bertaraf pro tour dijangka berkurangan kali ini.

Manakala TSG sekali lagi bakal dijadikan sandaran terbaik negara, apatah lagi taruhan untuk mengekalkan jersi putih bagi pelumba terbaik Asia yang dimenangi Adiq Hussainie Othman tahun lalu.

"Tahun lepas, kita lihat Hariff (Salleh) dan Anuar (Manan) sering berada dalam kelompok enam teratas. Jadi tahun ini, mereka memiliki peluang yang lebih baik.

"Paling utama tahun ini adalah untuk TSG mengekalkan jersi pelumba terbaik Asia sepertimana dilakukan edisi sebelum ini," tambah Emir.

Advertisement

Must Watch Video