Skip to main content

Sukan Lain

Liga Kriket Dunia: Malaysia teruskan rentak cemerlang

kriket.jpg
Skuad kriket lelaki negara meneruskan rentak kemenangan dalam Kejohanan Divisyen 4, Liga Kriket Dunia selepas menewaskan Vanuatu dengan 23 larian di di Kinrara Oval, Puchong, hari ini.

Kemenangan ke atas Uganda semalam memberikan semangat berterusan kepada skuad negara yang memulakan pusingan pada sebelah pagi untuk mencatat sebanyak 196 larian dalam 43.5 over dengan menjatuhkan kesemua wiket. 

Vanuatu pula gagal untuk mengatasi tuan rumah apabila melakukan sebanyak 173 larian dengan menjatuhkan kesemua wiket dalam 49.3 over. 

Ahmad Faiz Mohammad Nor mencuri tumpuan pada pusingan awal selepas melakukan paling banyak larian buat negara dengan 86 larian berbanding 50 larian yang dibuat ketika berdepan Uganda. 

"86 larian itu semestinya untuk pasukan negara. Kami dapat mencatat 196 mata, jadi sebenarnya kredit harus diberikan kepada pembaling. Apa yang paling penting, pemain-pemain mempamerkan prestasi terbaik pada hari ini," kata Faiz.

Aksi ketiga Rabu ini tidak boleh dipandang mudah skuad negara untuk memastikan kedudukan selesa layak ke divisyen 3 apabila bakal berdepan Bermuda. 

Walaupun pernah tewas kepada skuad berkenaan tiga tahun lalu, Malaysia berupaya untuk meraih kemenangan ketiga kali ini berdasarkan prestasi semasa pemain sejak aksi pembukaan, semalam.

"Kami pernah berdepan Bermuda tiga tahun lalu, kami tewas. Itu tidak membuatkan moral kami menurun, malah kini kami berada pada semangat tertinggi selepas meraih kemenangan dalam dua aksi berturut-turut. 

"Kami akan beraksi dengan terbaik kerana kemenangan akan meletakkan kami sebelah kaki ke  Divisyen Tiga," tambahnya.

Malaysia perlu menamatkan cabaran dalam kelompok dua teratas dalam kejohanan melibatkan enam negara itu untuk dinaikkan beraksi dalam WCL 3, sekali gus layak ke Piala Dunia Kriket 2023 sementara dua pasukan tercorot akan diturunkan beraksi dalam WCL 5.

Advertisement

Must Watch Video