MALAYSIA 0 IRELAND 3
Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan 3-0 kepada Ireland dalam aksi final Liga Hoki Dunia Wanita Pusingan Kedua di Stadium Tun Razak, malam ini.
Selepas tewas 2-1 kepada The Green Army dalam aksi peringkat kumpulan, Malaysia gagal mengubah nasib mereka dalam perlawanan akhir selepas gagal menyempurnakan banyak peluang untuk menjaringkan gol.
Bagaimanapun, Malaysia bakal mengiringi Ireland ke separuh akhir Liga Hoki Dunia di Belgium (21 Jun-2 Julai) dan Afrika Selatan (8-23 Julai).
Pengendali Malaysia, Dhaarma Raj Abdullah, memuji prestasi anak buahnya, “Pemain-pemain telah membuktikan bahawa mereka mampu bersaing dengan pasukan Eropah. Mereka mampu mara lebih jauh dan fasa kedua perjalanan kami ke Liga Hoki Dunia Separuh Akhir bermula hari ini.
Tambahnya lagi, "Saya menyedari bahawa kami tidak mampu mempamerkan aksi yang cemerlang selepas berhempas-pulas menewaskan Itali semalam. Kami gagal menyempurnakan peluang menerusi pukulan sudut penalti dan ia membenarkan Ireland untuk terus beraksi dengan selesa dalam perlawanan ini."
Ireland membuka jaringan pada minit ketujuh menerusi Anna O'Flanagan yang berjaya menampan masuk hantaran Chloe Watkins untuk menewaskan penjaga gol Malaysia, Farah Ayuni Yahya.
Malaysia menggandakan asakan ke arah pintu gol lawan untuk dihadiahkan pukulan sudut penalti, namun gagal menyempurnakannya.
Ireland menambah dua lagi jaringan menerusi Kathryn Mullan pada minit ke-10 dan Zue Wilson menyempurnakan kemenangan pada minit ke-34 hasil pukulan sudut penalti.
Keputusan penuh:
Akhir: Ireland 3 Malaysia 0
Tempat Ketiga-keempat: Itali 3 Wales 1
Tempat Kelima-keenam: Thailand 0 Singapura 0 (Thailand menang 3-1 menerusi penentuan penalt)
Tempat Ketujuh-kelapan: Kazakhstan 3 Hong Kong 2