Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, mengekalkan 17 pemain yang beraksi dalam kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita (ACT) tahun lalu menjelang Liga Hoki Dunia Wanita Pusingan Kedua yang akan berlangsung di Stadium Tun Razak dari 14-22 Januari ini.
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengumumkan senarai 18 pemain tersebut dalam sidang media majlis penajaan di Kuala Lumpur, hari ini.
Kempen Malaysia dalam kejohanan itu bakal digalas oleh pemain pertahanan, Siti Noor Amarina Ruhani, yang memikul tugas selaku kapten.
Pemain muda, Nur Zafirah Aziz, yang beraksi di ACT, merupakan pemain tunggal yang tidak dinamakan dalam skuad 18 pemain bagi memberi ruang kepada pemain lebih berpengalaman, Nurul Shafiqa Mat Isa.
Sementara itu, Farah Ayuni Yahaya -- yang diundi sebagai penjaga gol terbaik di ACT -- kembali menyertai skuad negara selepas terlepas aksi Jelajah New Zealand, bulan lalu.
"Selepas beberapa minggu menjalani latihan intensif, kami kini memiliki skuad yang cukup berpengalaman bagi menghadapi Liga Hoki Dunia Wanita Pusingan Kedua.
"Kebanyakan mereka telah membuat lebih 50 penampilan bersama skuad negara dan pernah beraksi di Jepun, China, Liga Hoki Australia, Trofi Wanita Asia dan lima perlawanan persahabatan ketika di New Zealand.
"Sasaran kami adalah untuk muncul juara kumpulan dalam pusingan awal. Kami akan berdepan cabaran sengit dari Ireland.
"Walaupun menghormati kedudukan pasukan lain, namun kami perlu mengatasi Ireland yang merupakan pasukan 16 terbaik dunia, kami perlu menang," tambahnya.
Dua pasukan terbaik di Kuala Lumpur akan layak ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung sama ada di Belgium atau Afrika Selatan.
Senarai 18 pemain skuad wanita negara:
Penjaga gol
Farah Ayuni Yahya, Mas Huzaimah Md Aziz
Pertahanan
Siti Noor Amarina Ruhani, Juliani Mohamad Din, Siti Shahida Saad, Nurul Shafiqa Mat Isa, Raja Norsharina Raja Shabuddin
Tengah
Fatin Shafika Mohd Sukri, Nuraini Abdul Rashid, Nor Hasliza Md Ali, Surizan Awang Noh, Norazlin Sumantri
Penyerang
Fazila Sylvester Silin, Hanis Nadiah Onn, Siti Rahmah Othman, Nurul Nabihah Nabsur, Wan Norfaiezah Md Saiuti, Nuraslinda Said