Skip to main content

Hoki

Liga Hoki Dunia: Lupakan dua kekecewaan lalu -- Sukri

sukri-mutalib-190617.jpg
Ketua pasukan negara, Sukri Mutalib, menuntut sokongan padu peminat tempatan ketika Malaysia menghadapi perlawanan wajib menang ke atas Korea Selatan, awal pagi esok, dalam aksi separuh akhir Liga Hoki Dunia, sekaligus menghidupkan peluang ke Piala Dunia 2018. 

"Peminat di Malaysia boleh cakap apa sahaja, kami di sinilah yang berhadapan dengan situasi getir. 

"Saya tidak mengambil tahu tentang media sosial. Lebih baik saya tidak tahu kerana ia boleh mendatangkan sesuatu yang negatif kepada saya. 

"Apa yang saya boleh pesan kepada rakan seperjuangan, kami perlu melupakan dua kekecewaan lalu," katanya. 

Secara realistik, Malaysia mempunyai dua peluang untuk ke Piala Dunia, iaitu perlu menewaskan Korea dan China. 

Peminat perlu yakin bahawa The Malaysian Hockey Tigers mampu merebut peluang itu, bermula dengan kemenangan ke atas Korea. 

Apatah lagi, bekas juara Asia itu masih terkejut dengan kekalahan besar di tangan China yang meletakkan mereka dalam situasi sukar untuk layak ke Piala Dunia. 

Skuad negara membatalkan semua sesi latihan menjelang pertemuan menentang Korea. 

Ia bagi meredakan tekanan, terutama membabitkan penjaga gol, S. Kumar, yang pasti kecewa selepas dibolosi 12 gol dalam dua perlawanan. 

"Kami mengadakan perbincangan mengenai perkara ini. 

"Selepas kekalahan itu, Kumar gagal segera melupakan kekecewaannya terhadap persembahan buruk. 

"Jangan lupa, ini adalah pertandingan kelayakan dan kita lihatlah sama ada dia mampu mengawal tekanan itu atau tidak. 

"Apapun, kami akan memikirkan percaturan kesebelasan terbaik nanti," kata jurulatih negara, Stephen Van Huizen. 
 

Advertisement

Must Watch Video