Skip to main content

Hoki

Liga Dunia Wanita: Misi buka mata dunia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hoki-wanita-030617.jpg
Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah, enggan peluang anak buahnya diperkecilkan dalam kempen separuh akhir Liga Dunia Wanita di Belgium, bermula 21 Jun ini. 

Biarpun bakal berdepan tugas menggunung untuk bersaing dengan kelompok pasukan handalan seperti Australia, Sepanyol, New Zealand dan Belgium, Dhaarma tetap berharap skuad negara mampu melakukan sesuatu ketika mereka sudah pun mencapai misi mustahil -- layak ke peringkat separuh akhir. 

"Walaupun pasukan kita di ranking paling bawah (ke-22 dunia), saya tidak mahu kami mengaku kalah.

"Saya faham betapa pentingnya pertandingan ini. Ia dapat mengubah nasib saya dan pasukan apabila kami berjaya mencipta kejutan layak ke Piala Dunia. 

"Kami tidak boleh melepaskan peluang besar ini dan sekiranya gagal, kami terpaksa bermula dari bawah," katanya. 

Ketika ini, dia mengikuti rapat perkembangan pasukan yang bakal dihadapi skuad negara dalam peringkat kumpulan. 

Menurutnya, Australia dan Sepanyol kini menggunakan khidmat pemain muda susulan persaraan pemain. Malah, Australia dikalahkan Jepun, baru-baru ini. 

Sementara itu, Belgium pula sekadar seri dengan Itali -- ranking kedua-dua pasukan tidak jauh berbeza. 

Malaysia pernah mengecewakan Itali di peringkat separuh akhir pusingan kedua Liga Dunia, Januari lalu. 

New Zealand pula masih mengekalkan sebahagian besar barisan pemain yang meraih tempat ke suku akhir Sukan Olimpik 2016. 

"Setidak-tidaknya, Malaysia perlu menang satu perlawanan untuk mencerahkan peluang ke Piala Dunia 2018.  

"Belgium dilihat terlalu yakin dan ia membuatkan keinginan saya berkobar-kobar untuk mencipta sesuatu dan ia menambah keazaman saya.

"Saya mahu kami kembali ke negara bukan sahaja dengan pencapaian luar biasa, malah mengejutkan dunia."

Untuk itu, Malaysia mengintai untuk mencipta satu kemenangan atau paling tidak, keputusan seri bagi menghidupkan peluang berada dalam kelompok lapan pasukan di Belgium yang akan meraih tiket ke Piala Dunia. 

Tambah Dhaarma lagi, pemain pertahanan, Nuraini Rashid, bakal menjadi senjata negara menerusi gerakan'drag flick', iaitu teknik yang digemari oleh bekas pemain lelaki negara, S. Kuhan, satu ketika dahulu. 

Ia tidak popular dalam kalangan pemain wanita, sekaligus mampu mengangkat nama Nuraini sebagai pemain wanita pertama di dunia yang mengetengahkan teknik itu. 

"Dia mampu menjadi salah seorang pemain terbaik di dunia," kata Dhaarma.
 

Advertisement

Must Watch Video