Corak permainan agresif Fiji menjadi satu kebimbangan buat ketua jurulatih hoki negara, Stephen van Huizen, apabila anak buahnya turun dalam aksi terakhir Kumpulan A, Pusingan Kedua Liga Dunia, esok.
Perlawanan terakhir itu mengundang risiko kecederaan terhadap pemain negara.
Pemain Fiji memiliki fizikal mantap selain corak permainan agresif dan tidak berbaloi untuk skuad negara mengalami kecederaan dalam perlawanan esok kerana apa yang penting ialah aksi peringkat kalah mati.
"Kecederaan boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Lagi kita cuba untuk mengelak, ketika itulah lagi mudah untuk mengutip kecederaan.
"Kami akan mengambil pendekatan seperti biasa. Kami tidak akan mengambil risiko apa-apa kerana yang paling penting ialah untuk bermain dengan bijak," jelas Van Huizen.
Malaysia hampir pasti muncul juara kumpulan selepas menewaskan tuan rumah, Bangladesh 3-0, diikuti membelasah Oman 6-1.
Sementara itu, rakan sejawatannya di pihak Fiji, Hector Smith, menghormati Malaysia sebagai pilihan utama kejohanan, malah berharap memiliki beberapa pemain seperti pemain negara dalam skuadnya.
"Ada dua pemain yang mencuri tumpuan saya, pemain no.17 (Razie Rahim) dan Fitri Saari.
"Pada saya, Fitri cukup lincah, saya berharap kami memiliki pemain sepertinya dalam pasukan," katanya.