Skip to main content

Hoki

LHM: TNB waspada ancaman 'adik'

120117-ketua-pasukan-tnb-shazril-irwan-nazli.jpg
Kapten Tenaga Nasional Berhad (TNB), Shazril Irwan Zazli, menghormati TNB Thunderbolt menjelang pertembungan esok selepas pendatang baru Liga Hoki Malaysia (LHM) itu mempamerkan aksi mengejutkan dalam saingan Piala Tan Sri P. Alagendra.

Status skuad adik-beradik menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi padang latihan menjelang aksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur. 

TNB akan turun memburu tiga mata pertama dengan kehadiran pemain bintang seperti S. Kumar, Shahril Saabah dan beberapa pemain senior lain. 

Bagaimanapun, mereka tetap menghormati TNB Thunderbolt yang tiga kali berjaya menggegar pintu gol juara bertahan, Terengganu Hockey Team (THT), dalam pusingan pertama Piala Tan Sri P. Alagendra, minggu lalu. 

"Apa juga boleh terjadi dalam perlawanan. 

"Perlawanan sebelum ini membuktikan mereka boleh bermain di mana mereka dapat menjaringkan tiga gol ketika menentang THT.

"Walaupun masih muda, mereka boleh berlari dan mempamerkan kemahiran tersendiri.

"Mereka memiliki pengalaman berdasarkan perlawanan-perlawanan sebelum ini," kata ketua pasukan TNB, Shazril Irwan. 

TNB Thunderbolt mengumpulkan lebih 70 peratus pemain Skuad Projek 2020 di bawah kendalian Norsaiful Zaini. 

Juara Divisyen Satu musim lalu itu dijangka mampu mencipta kejutan musim ini dengan dibarisi bekas bintang Liga Hoki Remaja, Arif Sabron, di jentera serangan. 

"Pada Jumaat ini, kami akan cuba buat yang terbaik selagi kami mampu.

"Sebelum ini, kami pernah bertemu THT dan kami boleh mengikut tempo permainan mereka," kata ketua pasukan TNB Thunderbolt, Shello Silverius. 

Tumpuan aksi pembukaan LHM 2017 turut terarah ke Kuala Terengganu di mana THT bakal berdepan Kelab Hoki Kuala Lumpur (UniKL) dalam perebutan Piala Sumbangsih. 

Advertisement

Must Watch Video