Skip to main content

Hoki

LHM: Shahril jadi sandaran TNB

240117shahrilsaabah.jpg
Pakar pukulan sudut penalti skuad Tenaga Nasional Berhad (TNB), Shahril Saabah, menggalas tugas berganda dalam aksi menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) esok selepas penyerang gandingannya ditimpa kecederaan.

Tugas Shahril lebih berat apabila Mohd Ramadan Rosli mengalami kecederaan lutut dan belum pasti diturunkan dalam pertemuan di Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Shahril muncul penjaring terbanyak TNB dengan tiga gol selepas lima perlawanan.

Bisanya sekali lagi ditagih dalam aksi menentang KLHC, terutama menerusi pukulan sudut penalti.

"Saya masih lagi mencari rentak terbaik saya. Saya berharap dapat memberikan yang terbaik ketika berdepan KLHC," katanya.

Sementara itu, Ramadan berkata: "Saya berpendapat ketiadaan saya tidak akan menjejaskan kelancaran pasukan. Saya yakin mereka mampu bermain dengan baik nanti."

Ramadan turut meledak tiga gol sebelum mengalami kecederaan ketika menentang Maybank, minggu lalu.

TNB menghuni tangga ketiga liga dengan 12 mata, ketinggalan satu mata di belakang KLHC dan pendahulu, Pasukan Hoki Terengganu (THT), yang memiliki kelebihan gol.

"Seperti yang diketahui, KLHC dan THT merupakan pasukan yang kuat dalam saingan liga ini.

"Kami akan cuba mengikut strategi kami dan cuba untuk mencuri mata ketika berdepan mereka," kata jurulatih TNB, Muhammad Amin Rahim.

Advertisement

Must Watch Video