BERITA SUKAN AM
Legenda olahraga masih mampu cipta rekod
Bekas atlet dan Olimpian sukan olahraga negara membuktikan bahawa mereka bukan sahaja mampu mencipta rekod dalam acara trek dan padang, malah di luar gelanggang apabila mencipta nama dalam 'Malaysia Book of Record' (MBOR), malam ini.
Jamuan Malam Olimpian Olahraga Malaysia dan Bekas Bintang Antarabangsa untuk meraikan bekas altet dan atlet terkini mencipta rekod apabila tersenarai dalam MBOR sebagai "Bilangan Terbesar Perhimpunan Atlet Legenda Negara Dalam Sesuatu Acara’ dengan penyertaan 80 legenda olahraga negara.
Anugerah MBOR itu disampaikan oleh Pengurus Pejabat MBOR, Lee Pooi Leng, dalam majlis di sebuah hotel di ibu negara.
Iklan
Presiden Persatuan Olahraga Master Malaysia (POMM), S. Sivapragasam, berkata tujuan utama majlis itu adalah untuk mengingati dan menghargai jasa dan sumbangan semua bekas atlet olahraga kebangsaan kepada negara.
"POMM juga berhajat untuk memperkenalkan jaguh-jaguh negara kepada generasi baharu agar ia dapat memberi inspirasi dan semangat baharu kepada mereka," katanya kepada pemberita.
Seramai 20 Olimpian negara dan 62 bekas atlet kebangsaan menerima Anugerah Cemerlang dalam majlis itu yang dihadiri kira-kira 250 bekas atlet kebangsaan, atlet semasa, bekas jurulatih dan pegawai teknikal.
Turut menerima penghargaan ialah Penolong Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi (Anugerah Cemerlang), Presiden Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur , Leo Leslie Armstrong (Jurulatih Terbaik) yang pernah melatih skuad olahraga untuk Olimpik Munich pada 1972 dan S. R. Chandran (pegawai teknikal).
Turut hadir ialah Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim dan bekas Raja Pecut negara, Tan Sri Dr M. Jegathesan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video