Jurulatih hoki wanita negara, Mohammad Dhaarma Raj Abdullah, menganggap pertembungan dengan Ireland hari ini sebagai perlawanan yang ditunggu-tunggu, dengan menegaskan segala kekuatan pasukan bakal diterjermahkan di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur.
Tegas Dhaarma,aksi Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia Wanita bertemu Ireland adalah ujian sebenar skuad negara.
Dia sudah mengenal pasti kekuatan dan kelemahan Ireland dengan menegaskan kajian menyeluruh sudah dilakukan lebih awal.
Mengaku Ireland merupakan sebuah pasukan yang kuat, itu tidak bermaksud skuad negara tertekan dengan situasi itu, malah pertembungan malam nanti dianggap sebagai perlawanan yang dinanti-nantikan.
"Saya telah memberi fokus lama untuk berdepan Ireland. Saya menanti pertemuan ini begitu lama.
"Perancangan untuk menghadapi Ireland sudah pun bermula sebelum kejohanan ini bermula," jelasnya.
Dhaarma mahukan kemenangan kerana tidak mahu memilih jalan sukar bertemu Itali di peringkat separuh akhir nanti.
Kemenangan besar mengatasi Hong Kong 9-0 tidak boleh dijadikan sebagai gambaran selesa buat skuad negara kerana dia menjangkakan aksi lebih sengit kali ini.
"Perjalanan kita di suku akhir kita akan bertemu Thailand dan seterusnya Itali dan itu agak merunsingkan kerana semua pasukan mahu melalui perjalanan yang mudah dan mengelak daripada bertemu Itali," tambahnya.