Kuala Lumpur dan Terengganu menepati ramalan mengulangi pencapaian edisi terdahulu apabila menempah tiket ke separuh akhir kejohanan sepak takraw Piala Emas Khir Johari.
Pertembungan suku akhir tertumpu kepada aksi Kuala Lumpur menentang Melaka yang disifatkan sebagai kuda hitam bagi edisi kali ini.
Bagaimanaun, regu pertama Kuala Lumpur yang diketuai tekong, Sulaiman Salleh, enggan membenarkan sebarang episod duka menimpa pasukan pilihan ini.
Mereka tidak perlu berpeluh untuk merekodkan kemenagan straight sets, 21-10, 21-15.
Trio regu kedua ditunjangi tekong kebangsaan, Ahmad Aizat Azmi, juga menghadirkan kemenangan di bawah tekanan tinggi.
Aksi sengit berkesudahan dengan Kuala Lumpur mengesahkan kemenangan aksi kedua 21-16,21-15 untuk mara ke separuh akhir.
"Setakat ini, kami masih mengulangi pencapaian tahun lepas, iaitu mara ke separuh akhir.
"Diharapkan tahun ini kami mampu mengatasi pencapaian itu dan mara ke final," kata jurulatih Kuala Lumpur, Azhar Sarbini.
Terengganu juga mengikut jejak Kuala Lumpur dalam merekodkan kemenangan bersih ke atas Perak.
Regu pertama yang bersandarkan kepada bintang senior negara, Hanafiah Dollah, menang 21-12, 21-18.
Kemenangan kedua pula menyusul dengan catatan 21-10, 21-12.
"Hari ini merupakan satu ujian buat pemain saya sendiri. Walaupun Perak memberi saingan yang sangat baik, kami telah menggunakan status sebagai pasukan pilihan untuk memenangi peringkat suku akhir ini," jelas jurulatih Terengganu, Futra Abdul Ghani.