Skip to main content

Hoki

KLHC terpaksa jalani latihan tanpa pemain utama

1117harun_klhc.jpg
Jurulatih Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Muhammad Harun Al-Rashid, berdepan tugas getir dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) apabila tiga pemain importnya hanya akan tiba pada saat akhir, selain hilang khidmat Muhammad Razie Abdul Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor.

Ia sekali gus menyukarkan Harun untuk mengekalkan reputasi KLHC sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah LHM.

Tiga pemain import diketuai pemain Australia, Aaron Kleinschmidt, akan tiba dua hari sebelum perlawanan pertama.

Malah, Razie dan Nabil tidak dapat membantu kerana terikat dengan Kursus Latihan Asas Inspektor Polis.

Ini bermakna Harun akan bergantung kepada kudrat pemain tempatan diketuai kapten, Sukri Mutalib.

"Persefahaman dalam latihan mungkin tidak dapat membantu kami. Insyaallah, dalam perlawanan sebenar nanti, kami boleh mendapatkan persefahaman itu, termasuk dengan pemain-pemain import," kata Harun.

Musim lalu, KLHC muncul naib juara liga dan Piala TNB.

Bagi musim baru, skuad berpangkalan di ibu kota itu akan menentang TNB dalam pusingan pertama Piala Tan Sri P. Alagendra, Jumaat ini.

Walaupun bergelut, KLHC tetap menyenaraikan Razie dan Nabil kerana menunggu mereka menamatkan kursus sebelum kembali ke pangkuan pasukan dalam pusingan kedua liga.

"Dua pemain ini masih dalam latihan tetapi mereka menamatkan latihan mereka akhir bulan ini. Jadi, kami tetap daftarkan mereka dengan harapan mereka dapat beraksi bersama KLHC," tambahnya.

Kepada peminat sukan hoki, Liga Hoki Malaysia kembali lagi dengan musim baru bermula bulan ini sehingga Februari di beberapa venue, antaranya di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur dan Stadium Hoki Batu Burok, Terengganu.

Advertisement

Must Watch Video