Skip to main content

Hoki

KLHC pertahan kejuaraan Piala Sumbangsih

tht2a83ba0a3d81604aa734ff0000212b38.jpg
Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih dengan menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 6-5 menerusi pukulan penalti selepas perlawanan berkesudahan seri 2-2 di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, malam tadi.

Tuan rumah bermula agresif pada suku pertama selepas mendapat empat pukulan sudut penalti dalam lima minit pertama, namun masih gagal memecahkan kebuntuan.

Bersambung suku kedua, THT meneruskan penguasaan dengan beberapa kali membuat hantaran berbahaya ke kawasan D pelawat, namun terus dikecewakan ketumpulan penyudah.

Berjaya menyerap serangan tuan rumah, KLHC mengejutkan kem tuan rumah dan mendahului pada minit ke-31 menerusi Muhammad Noor Faeez Ibrahim yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pasukannya.

Tersentak dengan jaringan itu, THT pantas menyamakan kedudukan hanya dua minit kemudian hasil jaringan padang Faizal Saari yang berjaya menewaskan penjaga gol berpengalaman, Roslan Jamaluddin.

Minit ke-45 menyaksikan THT hampir menjaringkan gol kedua tetapi pukulan pemain import dari Pakistan, Muhammad Irfan Muhammad Aslam, sekadar tinggi melepasi palang gol meskipun hanya berdepan penjaga gol pelawat.

Kegagalan tuan rumah memanfaatkan peluang terhidang dihukum KLHC selepas Muhammad Umar Bhutta menyudahkan hantaran Ahmad Kazamirul Nasruddin pada minit ke-51 untuk menjadikan kedudukan 2-1 kepada KLHC.

Jaringan penyamaan THT hadir pada minit ke-56 menerusi pukulan sudut penalti tonggak import dari Korea Selatan, Jang Jonghyun, sekaligus mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Kegagalan Faizal Saari dan Muhammad Firhan Ashaari menyempurnakan pukulan penalti menyaksikan THT terpaksa berputih mata sekali lagi untuk merangkul Piala Sumbangsih.
 

Advertisement

Must Watch Video