Skip to main content

Hoki

KLHC perlu masa capai keserasian

klhc.jpg

Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) bakal menempuh musim paling sukar selepas jurulatih, Muhammad Harun Al-Rashid, menyaksikan pemainnya bergelut ketika tewas 0-1 di tangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam aksi persahabatan menjelang pusingan pertama Piala Tan Sri P. Alagendra, Jumaat ini.

Meskipun dibarisi lima pemain import, KLHC gagal mempamer aksi meyakinkan.

Juara liga lapan kali ini masih mencari keserasian antara pemain tempatan dan import selain terpaksa beraksi tanpa khidmat pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor, kerana masih menjalani kursus latihan asas inspektor polis.

Ia amaran awal bahawa KLHC bakal menempuh musim sukar, apatah lagi juara bertahan, Terengganu Hockey Team (THT), berjaya memancing beberapa pemain import ternama selain Maybank dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

"Kami jangkakan musim sukar kali ini kerana kami masih belum tahu kekuatan pihak lawan.

"Pasukan kami juga masih dalam proses mencari keserasian, terutama dengan pemain import baharu," jelas Muhammad Harun.

Ketika perlawanan di Stadium Hoki Kuala Lumpur, pertahanan TNB, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, jadi pemusnah apabila meledak gol tunggal perlawanan dalam separuh masa pertama.

TNB menysasarkan skurang-kurangnya satu trofi musim ini walaupun masih mengekalkan tradisi tidak menggunakan khidmat pemain import.

"Pada saya, ini hanya satu perlawanan persahabatan dan bukannya gambaran sebenar bagi menghadapi Piala P. Alagendra yang akan bermula Jumaat ini.

"Jadi, saya harap pemain akan terus fokus dan beri tumpuan pada Jumaat," ujar jurulatih TNB, Mohd Amin Rahim.

 

Advertisement

Must Watch Video