BOLING
Kemenangan Syafiq, Najwa di Macau buka peluang ke Sukan SEA
Kejayaan dua atlet bowling negara, Syafiq Ridhwan Abdul Malek serta Radin Najwa Abdul Malek, menjuarai Terbuka Macau membuka peluang buat mereka memburu tempat dalam skuad ke Sukan SEA, Ogos nanti.
Saingan individu lelaki menyaksikan Syafiq mengetepikan Baek Jong-Yun dari Korea Selatan untuk bergelar juara.
Ini merupakan kejayaan pertama buat dirinya dalam tempoh empat tahun dengan kali terakhir bergelar juara dalam Kejohanan Kebangsaan 2013.
Iklan
Dua minggu lalu, dia hampir memenangi Terbuka Singapura, namun terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga.
Ternyata kejayaan ini memberi motivasi tambahan buat atlet berusia 30 tahun itu bagi merebut salah satu slot untuk ke Sukan SEA.
"Kemenangan dalam Terbuka Macau ini akan memberikan peluang untuk saya beraksi dalam Sukan SEA. Saya berharap dapat menggunakan pengalaman untuk meraih emas buat kontinjen Malaysia jika dipilih," kata Syafiq.
Dalam pada itu, Nur Najwa meraih kejayaan sulungnya sejak bergelar atlet elit dengan menewaskan peserta Indonesia, Putty Armein.
Putty, pemenang pingat perak Sukan Asia Doha 2006, memberikan saingan yang hebat buat Nur Najwa dengan saingan berlanjutan ke sudden death.
Begitupun, atlet yang akan meraikan sambutan Aidilfitri di Kuantan ini lebih unggul untuk memperoleh kemenangan 213-194.
"Ia merupakan kemenangan pertama selepas lima tahun menyertai skuad elit negara. Saya juga berharap untuk beraksi dalam Sukan SEA nanti," ujar Najwa.
Must-Watch Video