Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Kemelut Pandelela, Dhabitah selesai

pandaa.jpg
Kemelut penangguhan kontrak membabitkan penerjun negara, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, menemui jalan penyelesaian positif selepas kedua-dua atlet itu bersetuju dengan terma yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN).

MSN sudah membuat pertemuan dengan dua atlet tersebut pagi tadi bagi memperhalusi lagi butiran di dalam kontrak tersebut.

Kata putus dapat dicapai dan mereka bakal menandatangani kontrak itu esok.

Pandelela dan Dhabitah sebelum ini mencetus kontroversi apabila menangguhkan usaha menandatangani kontrak baru dengan MSN apabila tidak bersetuju dengan beberapa perkara, namun tidak mendedahkannya secara terperinci.

"Lebih lambat, lebih rugi buat mereka kerana kami tidak dapat proses elaun mereka tetapi pagi tadi kami sudah selesaikan perkara itu. Insya-Allah esok akan selesai semuanya," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Dalam masa sama, MSN menjelaskan tiada keistimewaan diberikan untuk atlet tertentu bagi mendapatkan jurulatih asing, contohnya jika seorang lagi penerjun kebangsaan, Cheong Jun Hoong, mahu kembali berada di bawah bimbingan bekas jurulatih, Yang Zhuliang.

Ia merujuk kepada situasi yang melibatkan atlet karate, Syakilla Salni Jefry Krishnan, yang kembali berlatih bersama Andris Vasiljev di Latvia.

Bagaimanapun, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) baru sahaja mendapatkan khidmat Li Rui dari China untuk membimbing Jun Hoong bersama enam lagi penerjun negara

"Kalau kepentingan individu itu ke arah sesuatu matlamat dan perlu untuk mereka diberikan kelebihan serta menjamin kejayaan, mengapa kami tidak mahu lakukan?" tambah Shapawi.

Advertisement

Must Watch Video