Skip to main content

Para ASEAN

Kembali jalani latihan, Ziyad akui kepenatan

ziyad34c7bb0a3d81604aa734ff0000212b38.jpg

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 dalam acara lontar peluru F20, Ziyad Zolkefli, menyifatkan sedang bergelut dengan sesi latihan selepas melewati cuti panjang sejak pulang dari Brazil, tahun lalu.

Memulakan latihan sebenar Isnin lalu, beberapa perkara membabitkan fizikal dan mental perlu diatasi Ziyad dengan segera.

Cuti lebih dua bulan menuntut Ziyad untuk kembali kepada prestasi asalnya.

Bukan mengeluh, namun dia mengakui kesukaran yang perlu di tempuhnya pada awal tahun 2017 memandangkan beberapa misi berada dalam sasarannya ketika ini.

"Selepas lama tidak berlatih, tubuh badan saya berasa sangat penat tetapi saya perlu lawan kepenatan itu jika mahu berjaya," ujarnya.

Selain perlu mengekalkan berat badan ideal, iaitu 117 kilogram, kandungan lemak dalam badan juga menjadi perkara utama yang perlu di atasi atlet berusia 26 tahun itu.

"Sesi latihan perlu mengambil masa yang lebih panjang bagi menurunkan berat badan. 

"Saya perlu menukar lemak menjadi otot agar mendapat tenaga yang diperlukan," tambah Ziyad.

Sepanjang tempoh cuti  dua bulan, atlet ini turut melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya selain turut mengerjakan umrah bersama keluarga.

"Sekarang saya rasa berat Ziyad sudah banyak yang turun," ujar jurulatih lontar peluru atlet itu, Faizul Haron.

Advertisement

Must Watch Video